Nazri: Sasaran 28 juta pelancong boleh dicapai
Malaysia berusaha gigih mencapai sasaran menarik 28 juta ketibaan pelancong pada 2014 walaupun menghadapi dua tragedi membabitkan Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 dan Penerbangan MH17.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata susulan dua tragedi itu, Malaysia tetap yakin dapat menerima 28 juta pelancong yang disasarkannya sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.
"Kami bekerja keras, kami tidak berputus asa. Ini adalah sebab mengapa kami percaya bahawa menjelang akhir tahun ini, kami akan mencapai angka yang disasarkan itu," katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah bagi pusat peranginan lima bintang Amanari Tanjung Tuan di ibunegara malam tadi.
Memandangkan Malaysia diletakkan pada kedudukan baik dalam senarai negara yang paling kerap dikunjungi pelancong, beliau berkata sektor pelancongan akan terus menjadi pemacu utama ekonomi negara.
Amanari ialah projek perdana yang dilaksanakan Tian Hong Holdings Sdn Bhd, syarikat usahasama antara Tian Hong Group dari China dan rakan kongsinya dari Malaysia.
Ia dijadualkan siap pada 2017.
- Bernama

