Pemuda PAS: Interpol jangan memihak
Pemuda PAS akan menghantar memorandum kepada polis antarabangsa (Interpol) bagi membantah usaha agensi itu untuk menahan Presiden Kesatuan Ulama Sedunia Dr Yusuf Al-Qaradawi.
Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat berkata, memorandum tersebut akan dihantar ke pejabat agensi itu di Singapura pada 2 Januari nanti.
"Tindakan Interpol untuk menahan cendekiawan tersohor itu juga jelas bertentangan dengan Perkara 3 Peruntukan Am perlembagaan pertubuhan itu," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau merujuk kepada peruntukan yang melarang pertubuhan itu daripada campur tangan dalam soal politik, ketenteraan, agama atau perkauman.
“Organisasi itu dilarang untuk menjalankan campurtangan atau aktiviti berbentuk politik, ketenteraan, keagamaan atau perkauman,” katanya.
Jelas Suhaizan, Interpol perlu kekal menjadi entiti bebas sebagaimana yang termaktub dalam garis panduan badan pertubuhan dunia itu.
"Tindakan mengeluarkan ‘notis merah’ yang bertujuan untuk menahan Dr Yusuf telah menjadikan pertubuhan dunia itu berpihak, sekaligus diperalatkan untuk kepentingan politik (Presiden Mesir) Abdel Fattah Al-Sisi," katanya.
Kecaman sama turut disuarakan oleh badan tertinggi dalam PAS, Dewan Ulamak yang menyifatkan tuduhan ke atas ulama tersebut “kabur dan berniat jahat”.
“Dewan Ulamak PAS Pusat dalam masa yang sama menuntut Interpol segera membersihkan nama Dr Yusof Qaradawi daripada senarai penjenayah yang dikehendaki.
“Begitu juga, umat Islam khususnya para pemerintah Islam dituntut berganding bahu sepakat meluahkan mesej bantahan terhadap tuduhan berniat jahat lagi zalim ini serta mempertahankan Syeikh Qaradawi dan membersihkan nama beliau dari tohmahan liar ini,” kenyataan sayap PAS itu dipetik.
Interpol dilaporkan mengeluarkan waran kepada Dr Yusuf, 88, berhubung tuduhan yang mengaitkan cendekiawan Islam itu dengan kegiatan Ikhwanul Muslimin.
Beliau dikehendaki pihak berkuasa kehakiman Mesir untuk pendakwaan dan sabitan hukuman.
Warganegara Mesir dan Qatar itu antaranya dituduh menghasut dan membantu pembunuhan antarabangsa, membantu banduan melepaskan diri daripada penjara, serta aktiviti vandalisme dan kecurian.

