Siswa sedia anjur dialog 1MDB, PM
Aktivis siswa Universiti Malaya meneruskan tekanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk tampil membuat penjelasan mengenai masalah yang dihadapi syarikat pelaburan 1Malaysia Development Bhd.
Bekas presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya, Fahmi Zainol berkata, mereka bersedia untuk menyediakan tempat bagi mengadakan dialog melibatkan perdana menteri dan pengarah 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin.
“Sesi dialog (dua hala) dan penjelasan oleh pihak 1MDB akan diusahakan di peringkat kami jika mereka berani tampil ke hadapan untuk jelaskan permasalahan ini.
“Jika perdana menteri tidak mampu jelaskan, sudah cukup baik jika lembaga pengarah 1MDB dapat turun jelaskan permasalahan ini,” kata Fahmi.
Beliau mengulas kenyataan Lodin yang menyatakan kesediaan untuk berdebat dan berbincang mengenai hutang 1MDB yang didakwa mencecah lebih RM40 bilion.
Firma milik kementerian kewangan yang dipengerusikan oleh Najib itu dikritik berhubung isu jaminan kerajaan ke atas hutang berkenaan.
Lodin sebelum ini menjelaskan bahawa jaminan kerajaan hanya melibatkan sejumlah RM1 juta daripada keseluruhan portfolionya.

