Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kelantan menafikan dakwaan kononnya bekalan elektrik terputus di kesemua kawasan di jajahan Kota Bharu hari ini.

Pengurus Besarnya, Md Yuslan Md Yusof berkata setakat ini hanya kawasan Pulau Kundor di Kota Bharu yang terputus bekalan elektrik akibat banjir.

"Kawasan lain di jajahan ini (Kota Baharu) masih mempunyai bekalan elektrik seperti biasa," katanya ketika dihubungi Bernama.

Dakwaan yang tersebar melalui aplikasi WhatsApp itu menyebut kononnya seluruh Kota Baharu terputus bekalan elektrik berikutan paras air Sungai Kelantan di Tambatan Diraja melepasi tahap bahaya yang menyebabkan kawasan

rendah dinaiki air.

Md Yuslan berkata bekalan elektrik hanya akan dihentikan untuk keselamatan orang ramai apabila keadaan semakin serius.

Beliau turut berkata keseluruhan jajahan Kuala Krai dan Gua Musang masih terputus bekalan elektrik disebabkan keadaan banjir yang semakin buruk.

- Bernama