Sebuah pusat pemindahan banjir di Balai Raya Kampung Panchur di Hulu Dungun terpaksa ditutup dan digantikan dengan pusat pemindahan baharu di Sekolah Menengah Kebangsaan Jerangau apabila pusat itu dinaiki air tengah hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Jerangau Sungai, Mohamad Jusoh berkata pusat pemindahan itu terpaksa ditutup setelah air Sungai Dungun di kawasan berkenaan mula melimpah dan lebih ramai penduduk di kampung tersebut terjejas banjir.

"Kita terpaksa tutup pusat pemindahan ini tengah hari tadi setelah air mulai naik dan kita bimbang air sungai akan semakin naik dan pusat pemindahan tersebut tidak dapat beroperasi.

"Jumlah penduduk yang berpindah juga semakin bertambah dan banjir kali ini memang banjir terburuk dalam tempoh 31 tahun di kampung ini, dulu paling teruk pada tahun 1983 dan kali ini lebih buruk daripada sebelum ini," katanya ketika ditemui Bernama petang ini.

Menurutnya lebih 300 mangsa daripada 61 keluarga di kampung itu terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan berbanding banjir pada tahun-tahun sebelumnya apabila hanya 100 mangsa daripada 20 keluarga yang terjejas banjir.

Seorang mangsa banjir yang juga warga emas, Mat Jais Jah, 84, berkata bencana banjir pada tahun ini yang melanda kampung tersebut mengingatkannya pada banjir yang pernah berlaku pada tahun 1983.

"Banjir 31 tahun lalu dah boleh dikatakan buruk dan sangat teruk, tapi kali ini lagi teruk daripada peristiwa tersebut dan kali ini lebih ramai orang kampung yang terpaksa berpindah," katanya.

Seorang lagi mangsa, Zaharah Ahmad, 62, berkata beliau yang baru dibenarkan bpulang dari pusat pemindahan pada Selasa lalu terpaksa berpindah lagi ke pusat pemindahan pagi semalam.

Bagaimanapun Zaharah berkata meskipun pusat pemindahan terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan lain dan jumlah mangsa makin meningkat kemudahan dan bekalan yang disediakan pihak berkuasa sangat selesa dan mencukupi.

Sebanyak 34 pusat pemindahan banjir dibuka di daerah ini yang menempatkan 5,053 mangsa daripada 1,345 keluarga.

- Bernama