Banjir: DAP desak k'jaan isytihar 'darurat'
Dengan 90,000 mangsa banjir dipindahkan dalam banjir paling teruk berlaku Malaysia, DAP ingin tahu mengapa kerajaan masih tidak mengisytiharkan keadaan darurat.
"Jika hakikatnya 90,000 rakyat Malaysia terpaksa meninggalkan rumah mereka yang dilanda banjir ke tempat berpindahan, bukankah ia kes yang jelas untuk mengisytiharkan keadaan darurat," kata Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua.
Semalam, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Datuk Mohamad Thajudden Abdul Wahab menolak khabar angin bahawa darurat akan diisytiharkan di Kelantan yang paling teruk dilanda Kelantan.
Beliau berkata hanya perdana menteri, yang juga mempengerusikan MKN boleh mengumumkan keadaan darurat.
Perdana Menteri Najib Abdul Razak dilaporkan bercuti di Hawaii dan jet rasmi masih di Honolulu.
Keadaan kecemasan akan membolehkan mobilisasi pasukan keselamatan dalam misi bantuan, tetapi semalam Kementerian Pertahanan telahpun mengerahkan beberapa asetnya untuk bantuan di kawasan yang dilanda banjir.
Menurut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat apabila baginda berpuas hati keadaan keselamatan dan kehidupan ekonomi rakyat terancam.
Baginda boleh berbuat demikian atas nasihat perdana menteri.
Tahun lepas Najib mengumumkan keadaan darurat di Muar dan Ledang, Johor apabila jerebu berbahaya melanda kawasan berkenaan.

