Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, terdapat banyak faktor yang menjadi punca berlakunya banjir besar, terutamanya di Kelantan.

Sehubungan itu, katanya, bedah siasat berhubung bencana itu akan dibuat selepas krisis banjir di enam buah negeri selesai.

"Dia banyak faktor. Nanti bila selesai kita buat bedah siasat secara mendalam apakah punca keadaan banjir ini berlaku.

"Mungkin ia berkaitan soal perubahan cuaca, iklim, kawasan alam sekitar yang tidak dipelihara, kekurangan infrastruktur untuk agihkan air masuk ke dalam hutan.

“Hal ini semua akan dikaji selepas banjir nanti," katanya pada sidang media semasa mengadakan lawatan ke pusat pengumpulan bantuan banjir di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada punca utama banjir yang melanda beberapa negeri disebabkan faktor pembalakan.

Setakat ini mangsa banjir di enam negeri yang terjejas lebih 200,000 orang.

Kelantan merupakan negeri yang paling teruk terjejas akibat banjir, diikuti Pahang, Terengganu, Perak dan Johor.

Isu mengenai kemusnahan kawasan hutan di hulu Kelantan menjadi antara persoalan utama yang dibangkitkan oleh kalangan pengguna media sosial.

Kalangan warga maya itu turut berkongsi imej satelit kawasan terbabit dan mempersoalkan sekiranya kemusnahan kawasan khazanah alam itu menjadi punca bah besar yang melanda negeri tersebut kali ini.

Antara kawasan yang ditunjukkan dalam gambar terbabit ialah kawasan hutan di jajahan kecil Lojing, Gua Musang yang dibuka secara meluas untuk kegiatan pertanian.

Faktor kemusnahan alam itu turut menjadi perhatian sultan Kelantan, Sultan Muhammad V turut meminta masyarakat agar lebih menumpukan kepada soal penjagaan sumber alam.

Laporan Bernama pada Sabtu lalu menyebut, baginda bertitah bahawa masyarakat perlu kembali bersahabat dengan alam dan mengakui bahawa bencana yang timbul berpunca daripada tindakan manusia.