Bersedialah untuk banjir lebih buruk
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) memandang serius cubaan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab, tidak logik, bodoh dan kurang waras untuk mengaitkan banjir sekarang dengan menuding jari kepada "hukuman daripada Tuhan" ataupun menyatakan kejadian banjir ini sebagai satu banjir luar biasa.
Sebenarnya, jika pengondolan hutan kita berterusan, cuba bayangkan situasi banjir yang akan kita hadapi apabila kita tinggal hanya separuh daripada hutan dara kita yang sedia ada?
Dalam Rancangan Malaysia ke-10, sebanyak RM 5 bilion diperuntukkan bagi projek-projek tebatan banjir (muka surat 296).
Berdasarkan pecahan Belanjawan 2015 terkini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sepatutnya melaksanakan projek-projek bernilai RM 4.638 bilion untuk tebatan banjir dari tahun 2011 sehingga 2015, tetapi hanya RM 2.459 bilion diperuntukkan sehingga kini.
Tambahan pula, kerajaan persekutuan memperuntukkan RM 1.788 bilion dan RM 3.998 bilion untuk tebatan banjir di bawah Rancangan Malaysia ke-8 dan ke-9 masing-masing.
Apakah status terkini projek-projek ini? Apakah impak yang sepatutnya diberikan oleh projek-projek yang sudah siap setakat Disember 2014 ini?
Berdasarkan nilai anggaran, kehilangan kewangan yang disebabkan oleh banjir adalah sekitar RM 1 bilion setahun. Ini merupakan nilai pada tahun 2002 yang telah diterbitkan oleh JPS.
Dengan itu, kehilangan kewangan yang disebabkan oleh banjir boleh dianggar sekitar RM 12 bilion atau lebih sehingga tahun 2013.
Tugas ketua audit
Banjir tahun ini akan menyebabkan kehilangan kewangan yang jauh lebih tinggi.
Bagaimanapun, kehilangan kewangan ini tidak termasuk kos peruntukan projek-projek tebatan banjir, pembinaan semula infrastruktur dan pampasan.
Berapakah yang kita akan hilang pada masa depan jika penggondolan hutan masih berterusan?
Situasi banjir semakin serius saban tahun dan sudah tiba masanya untuk audit projek-projek tebatan banjir ini.
AWER menyeru ketua audit negara menjalankan audit terperinci bagi projek-projek tebatan banjir dan saliran yang telah dirancang dan dilaksanakan bawah Rancangan Malaysia ke-8, ke-9 dan ke-10.
Skop audit juga perlu merangkumi keberkesanan setiap projek.
Ketua audit negara juga mesti melaporkan kehilangan kewangan tahunan bagi negeri-negeri dan negara yang disebabkan oleh kejadian banjir.
Sains asas menempatkan banjir sebagai sebahagian daripada kitar air. Memandangkan Malaysia mempunyai iklim Khatulistiwa, "hujan" menjadi kata kunci penting.
Seperti yang telah kami terangkan dahulu, apabila hujan turun, sebahagian daripada air hujan ini diserap oleh hutan dan tanah dan baki air hujan ini akan mengalir pada permukaan sebagai air larian permukaan ( surface runoff ).
Kaedah semula jadi
Apabila kapasiti penyerapan secara semula jadi berkurang, kadar aliran air larian permukaan akan bertambah.
Mengapakah kapasiti penyerapan berkurangan? Ia berkurang akibat daripada penggondolan hutan, perubahan dalam guna tanah, pertambahan dalam permukaan tidak telap air dan secara keseluruhan, pembangunan untuk menampung peningkatan populasi penduduk.
Hal-hal berkaitan tanah bawah bidang kuasa kerajaan-kerajaan negeri. Ini meliputi perlindungan hutan dara dan pewartaan guna tanah bawah setiap kerajaan tempatan.
Penggondolan hutan dara dan menanam semula dengan tumbuhan pertanian tidak menjadikan kawasan ini "hijau" dan "semula jadi".
Kemusnahan hutan akan menghapuskan keupayaan alam semula jadi untuk "melambatkan" pergerakan air larian permukaan.
Maka, tumbuhan pertanian yang berwarna hijau tidak menjamin tebatan banjir semula jadi. Apabila hutan musnah, ia adalah jalan sehala untuk kita semua!
AWER ingin menyeru kerajaan untuk mematuhi hukum alam (nature's law). Setiap penyelesaian tebatan banjir yang dirancang mesti "meniru" kaedah-kaedah semula jadi.
Air mengalir dari kawasan tinggi ke rendah dengan mengikut laluan yang paling logik (disebabkan oleh graviti). Ia juga membentuk kawasan-kawasan paya air tawar dan tasik-tasik dalam perjalanannya.
Pergerakan air dalam kuantiti yang banyak tidak akan mengikut saliran yang manusia sediakan. Ia bergerak berdasarkan momentumnya sendiri dan menghanyutkan segala yang berada dalam laluannya yang ia boleh atasi.
Inilah insiden yang kita telah saksikan di Lembah Bertam, Cameron Highlands.
Meniru alam semula jadi dan kaedah melambatkan adalah satu-satunya cara untuk mengurangkan atau mengelakkan insiden yang menyebabkan kemusnahan.
Pembinaan infrastruktur-infrastuktur tebatan banjir adalah penting. Pada masa yang sama, penyelenggaraan infrastruktur-infrastruktur ini juga amat diperlukan.
Bagaimanapun, jika litupan hutan semakin berkurangan, tidak kira berapa banyak kita belanjakan, Malaysia tidak akan dapat meminimumkan atau menyelesaikan masalah banjir ini.
Ini adalah kerana kuantiti air yang banyak akan mengatasi infrastruktur-infrastruktur yang kita bina dengan tujuan "cuba" mengawal banjir.
Ingat, kita hidup dalam keseimbangan dengan alam sekitar. Apa-apa cubaan untuk memusnahkannya, kita merancang kemusnahan sendiri!
PIARAPAKARAN S presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER).

