Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Tan Sri Tony Fernandes memuji anak kapalnya kerana kekal berani menghadapi bencana yang menimpa mereka.

“Saya ingin dunia tahu betapa mengagumkan individu dalam syarikat ini.

"Semalam, anak perempuan saya terbang ke Bali. Dan katanya anak kapal menyanyi.

“Dia (anak saya) beritahu betapa mengagumkan khidmat diberikan anak kapal dan bagaimana semua orang gembira.

"Ia tunjukkan semangat dan kekuatan mereka,” tambahnya di Twitter.

Tulisan itu menarik sokongan hangat di alam maya, yang antaranya, meminta Fernandes kekal tabah dan memujinya sebagai “CEO contoh”.

Bagaimanapun, terdapat juga pihak yang mempersoalkan rancangan masa depannya selain pihak yang menulis secara sinis:

“Hakikatnya tindakan kamu menulis tweet 20 kali sehari tidak akan membetulkan tragedi ini, Tony.”

Sebelum itu, Fernandes menulis, kakitangan AirAsia daripada seluruh Asean, termasuk India dan Jepun, terbang ke Surabaya bagi membantu Indonesia.

Pesawat AirAsia Indonesia yang membawa 155 penumpang dan tujuh anak kapal pada Ahad hilang perhubungan daripada pusat kawalan udara.

Dalam sidang media semalam, CEO itu menyifatkan peristiwa itu sebagai “paling mengerikan dalam hidupnya”.

[Baca berita asal]