Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kenapa tulis untuk Phua, bukan Al-Qaradawi?'
Diterbitkan:  Jan 4, 2015 1:00 PM
Dikemaskini: 1:21 PM

Berdasarkan kenyataan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, PKR membuat kesimpulan bahawa surat Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi berhubung Paul Phua, yang didakwa 'raja judi', adalah sahih.

“Saya ingin berterima kasih kepada Shafee kerana walaupun menteri dalam negeri belum menjawab, peguam Umno nombor satu telah menjawab salah satu soalan yang saya tujukan kepada Zahid.

“Berdasarkan kenyataan Shafee, kita kini tahu bahawa surat rahsia Zahid kepada FBI (Biro Siasatan Persekutuan) yang didedahkan South China Morning Post adalah sahih dan benar,” kata pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil .

Justeru, Fahmi ( kanan ) mempersoalkan tindakan Zahid itu yang mengeluarkan surat untuk individu seperti Paul tetapi “tidak berkata apa-apa” apabila Polis Antarabangsa (Interpol) mengeluarkan waran tangkap terhadap sarjana terkemuka Islam Dr Yusuf Al-Qaradawi.

Ini katanya dengan mengambil kira kedudukan Yusuf yang diiktiraf kerajaan Malaysia sebagai tokoh Maal Hijrah sebelum ini.

Interpol sebelum ini mengeluarkan waran kepada Yusuf, 88, yang dikaitkan dengan kegiatan Ikhwanul Muslimin yang diharamkan kerajaan Mesir.

PKR juga terus menuntut penjelasan berhubung "projek-projek berkaitan keselamatan negara" yang dibantu Phua dan kenapa surat itu dikeluarkan tanpa nasihat peguam negara.

Fahmi juga bertanya jika Zahid dapat mengesahkan bahawa Phua seorang ahli kongsi gelap 14K ataupun bukan.

“Oleh itu, saya meminta Zahid untuk menjelaskan pernahkah Paul Phua ditangkap dan/atau didakwa di Malaysia kerana aktiviti jenayah seperti perjudian atau pengubahan wang haram? ” soalnya.

Beliau membangkitkan laporan Global Financial Integrity, berhubung kedudukan Malaysia yang hilang RM170 bilion akibat pengaliran wang secara haram pada 2012, termasuklah pengubahan wang haram melalui perjudian.

“Tidak mustahil kumpulan-kumpulan kongsi gelap terlibat dalam aktiviti ini,” katanya.

Semalam, Shafee berkata, surat Zahid kepada FBI itu bagi membetulkan kesilapan dalam laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Peguam itu, yang mengadakan sidang media bagi pihak pasukan peguam bela Phua, juga menegaskan bahawa kumpulan 14K, yang dia didakwa menganggotainya tidak beroperasi di Malaysia.

Laporan berhubung kontroversi surat itu didedahkan oleh harian Hong Kong, South China Morning Post pada 18 Disember, yang turut menyiarkan semula keseluruhan kandungan surat itu.

Phua sekarang berada bawah tahanan rumah di Las Vegas dan berdepan pertuduhan menjalankan operasi perjudian haram daripada Hotel Caesar’s Palace semasa Piala Dunia Brazil tahun lalu.

Kwong Wah Yit Poh melaporkan Zahid sebagai enggan mengulas perkara itu ketika ditanya pemberita di Putrajaya semalam.

Katanya, beliau akan membuat sidang media berkaitan perkara itu pada masa yang lain.

Lihat Komen
ADS