Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli politik PAS, Nik Abduh Nik Aziz dalam kenyataannya kenyataannya sebelum ini mengaitkan bencana alam banjir sebagai ujian, dan bahawasanya sudah tiba masanya praktikal hudud harus dilaksanakan dengan segera.

Di tengah-tengah ujian ini, kenyataan sebegini bukanlah sesuatu yang bijak dan cermat.

Sesungguhnya al-Quran tidak melulu berbicara tentang manusia.

Kita juga akan menemui kandungannya tentang ajaran nilai-nilai ekologi.

Fenomena lingkungan Alam dalam al-Quran menggambarkan betapa kekuasaan Tuhan dan keteraturan konsep alam sudah pasti akan menghubungkannya dengan manusia.

Memahami keterkaitan al-Quran dan tindakan ekologis akan menghubungkan konsep tauhid yang menjadi prinsip universal antara hubungan kesatuan manusia dan alam, dan antara pengetahuan dan nilai.

Melalui prinsip sebegini, sudah tentu keterikatan tanggungjawab manusia kepada alam tidak dapat dipisahkan.

Malah sebaliknya, tindakan mengeksploitasi dan menggubah alam sudah tentu jauh daripada prinsip ajaran Islam.

Sebaliknya, bumi mesti diperlakukan dengan penuh sifat hormat, adil dan penuh tanggungjawab dengan meletakkan hak pada tempatnya. Al-Quran menyebut dalam surah ar-Rahman berbunyi:

‘’Dan Allah telah meletakkan neraca (keadilan) supaya kamu jangan melampau batas tentang neraca itu. Dan tegakkanlah timbangan dengan adil dan janganlah kamu mengurangi neraca itu.’’

Tuhan berfirman lagi dalam surah al-An’am tentang keterkaitan hubungan manusia dan alam:

‘’Dan dialah yang menjadikanmu penguasa di bumi dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian yang lain beberapa darjat untuk mengujimu tentang apa yang diberikan-Nya kepadamu. Sungguh Tuhanmu amat cepat seksaan-Nya dan sesungguhnya Dia maha pengampun lagi maha penyanyang.’’

Ayat ini menunjukkan kalimat darjat itu bukanlah merujuk kepada perbezaan kelas ataupun jurang sosial tetapi tetapi tentang ‘’kebajikan’’ yang merangkumi elemen kesalihan dan pengetahuan.

Kemampuan kebajikan ini adalah bagaimana kebijakan amanah manusia sebagai penguasa atau khalifah di muka bumi ini dalam menguruskan Alam dan seisinya dan tanggungjawab memeliharanya daripada kerosakan.

Sesungguhnya ini adalah saranan Tuhan kepada manusia untuk bersifat amanah dan tanggungjawab dalam memelihara alam. Malah ia sekaligus merupakan perjuangan moral dan etika serta keadilan hak.

Bukan sekadar laungan hudud

Dua perkara penting tentang konsep khalifah iaitu amanah dan kebijakan bukan sekadar teori tetapi keduanya harus diaktualisasikan dan diterjemahkan ke dalam kebijakan ruang praktis.

Nabi Muhammad SAW ketika berhadapan konsep ini, menetapkan dua jenis kawasan yang tidak boleh dilanggar di dalam kota, iaitu haraam dan hima .

Ia merujuk kepada tempat kegiatan-kegaitan tertentu diharamkan, iaitu berada di sekitar sumur, kota kecil atau besar, sumber air di mana terdapat ruang yang disediakan untuk menjaga pengurusan sumber air daripada kerosakan.

Di sekitar air sungai dan saluran air, manusia dilarang melakukan tindakan yang merosakkannya. Di kota kecil manusia tidak boleh menebang pohon sembarangan. Hal ini bertujuan untuk melindungi kehidupan alam dan memberi haknya.

Manakala kawasan hima pula berada di luar kota, yang mana fungsinya untuk memelihara kelestarian hutan dan kehidupan alam bebas.

Dalam peradaban Islam, haraam dan hima adalah sebahagian daripada syariah. Golongan Muslim harus peduli dalam menguruskannya apalagi jauh tersasar mengeksploitasi haknya.

Syariat mengharamkan segala kegiatan mengotorkan dan memperlakukan kezaliman ke atas tuntutan hak alam.

Menjadi tanggungjawab moral semua Muslim merawat dan memelihara hak bumi, lebih-lebih lagi dalam tuntutan moden hari ini.

Ia bukan sekadar meletakkan sesuatu bencana alam itu atas dasar ujian Allah yang harus diselesaikan hanya melalui hudud, tetapi tuntutan yang lebih penting lagi adalah bagaimana kebijakan dalam memahami ayat Quran dalam menerapkan ke dalam lingkungan kehidupan termasuk dalam menguruskan hal alam flora dan fauna ini.

Ini adalah tuntutan maqasid syariah yang harus dikembangkan dan di ambil penting bagi setiap manusia yang hidup di muka bumi.

Hudud menurut Dr Jasser Audah dalam bukunya Bayn As-Syariah wa As-Siyasah, menyebut tentang kaedah ‘’menolak hudud dengan timbulnya keraguan’’.

Contohnya kita mampu mencadangkan perlaksanaan hukum had untuk kesalahan mencuri, sedangkan masyarakat sarat dengan keraguan.

Terjadi bencana alam sebegini, yang mana rakyatnya menghadapi kelaparan,fakir penyakit,kejahilan dan kerosakan dalam hal tadbir pengurusan alam.

Keraguan umum ini mewajibkan kita menangguhkan hukuman ini ke masa lain sekalipun rakyat sudah berpakat bagi melaksanakannya.

Seperti yang sedia kita maklum, Saidina Umar pernah menggantungkan hukuman hudud pada tahun kelaparan.


MOHD SYAZREEN ABDULLAH felo Lingkaran Islam Tradisional (LIT).

Lihat Komen
ADS