Pengerusi SKMM tak dilanjut kontrak
Seorang editor Utusan Malaysia berkata, kontrak ketua pegawai eksekutif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Datuk Mohamed Sharil tidak diperbaharui antara lainnya kerana gagal bertindak ke atas dakwaan kesalahan menghasut di Internet.
Editor akhbar milik Umno itu, Zulkifli Jalil membangkitkan mengenai kritikan ke atas SKMM semasa bawah pentadbiran Mohamed Sharil,
“...Antara lain, gagal dan lewat mengambil tindakan atas isu-isu sensitif terutama melibatkan hasutan kaum dan agama. Juga, gagal mengekang banyak penghinaan terhadap apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Dalam tulisan di akhbar tersebut semalam, Zulkifli turut membangkitkan mengenai penyebaran berita palsu semasa banjir di Pantai Timur, yang didakwa bertujuan untuk “menjatuhkan kerajaan pusat dan imej pemimpin negara”.
Zulkifli turut mempromosi bekas calon BN untuk kerusi Permatang Pauh, Mazlan Ismail sebagai calon pengganti Mohamed Sharil.
Tulisan itu timbul susulan spekulasi yang dibangkitkan oleh portal Digital News Asia bahawa kerajaan berhasrat untuk melantik seorang anggota Umno untuk mengetuai SKMM.
“Pandangan yang timbul kini adalah sebagai ketua SKMM Sharil tidak bertindak dengan memadai untuk mengekang suara-suara penentangan di ruang digital,” lapor portal tersebut.
Sharil sebelum ini menyatakan bahawa beliau tidak menyokong sekatan yang tidak perlu di Internet, lapor Digital News Asia, namun “mioriti yang lantang dalam Umno tidak mahu menerimanya”.
Kedudukan CEO SKMM juga mendapat perhatian meluas kerana pengaruhnya dalam penganugerahan kontrak untuk projek menara telekomunikasi di kawasan luar bandar, menurut portal itu lagi.
Sebanyak 400 menara akan dibina dengan kos RM900 manakala bagi fasa kedua dijangka menelan kos RM1.3 bilion.

