Polis memburu tiga warga Perancis termasuk dua beradik susulan kejadian tembakan mengorbankan 12 orang di sebuah pejabat majalah satira di Paris.

Laporan Reuters yang memetik sumber polis dan kerajaan Perancis menyebut, kejadian tersebut disyaki dilakukan oleh kumpulan bersenjata Islam.

Majalah mingguan Charlie Hebdo disifatkan sebagai penerbitan yang sering menyindir Islam dan agama lain.

Serangan oleh kumpulan bertopeng itu disifatkan sebagai kejadian paling teruk di negara tersebut sejak berdekad lamanya.

Suspek dilaporkan meloloskan diri selepas menembak mati beberapa orang kartunis terkenal Perancis dan juga dua orang pegawai polis dalam kejadian tersebut.

Seramai kira-kira 800 orang anggota tentera turut berkawal di ibu negara tersebut susulan kejadian itu.

Polis dilaporkan mengeluarkan dokumen kepada pasukan keselamatan di wilayah tersebut yang menyenaraikan tiga individu berhubung serangan berkenaan.

Ketiga-tiganya adalah Said Kouachi (lahir tahun 1980), Cherif Kouachi (1982), dan Hamyd Mourad (1996).

Menurut polis, ketiga-tiganya dikenalpasti melalui kad pengenalan dalam kenderaan yang digunakan suspek.

Laporan agensi sama petang ini menyebut, salah seorang daripadanya menyerah diri kepada pihak berkuasa di sebuah balai polis di Charleville-Mézières, dekat sempadan Belgium, 230 kilometer di timur laut Paris.