Kartunis Zunar serta barisan MP dari DAP dan PKR mengutuk sekeras-kerasnya serangan terhadap pejabat majalah satira mingguan Charlie Hebdo di Perancis yang mengorbankan 12 orang.

Turut terkorban dalam serangan itu ialah empat orang kartunis terkenal Perancis - Stéphane Charbonnier, Cabu, Wolinski dan Tignous

Dalam kenyataannya, Zunar berkata serangan tersebut merupakan tindakan ganas yang "gila, tidak bertamadaun dan tidak berperikemanusiaan".

Menurut mereka, tindakan itu, bukan cara untuk menyatakan rasa tidak bersetuju dengan kartun satira yang didakwa mempersendakan Islam.

"Pendirian saya adalah jelas – setiap kartunis mesti dibenarkan untuk mengkritik melalui karya mereka.

"Sebarang ketidakpuasan atau bantahan mengenai kandungan karya-karya tersebut mestilah dijawab melalui perbincangan, perdebatan dan cara-cara yang bertamadun.

"Walau pun kita mungkin tidak bersetuju dengan sesebuah karya kartun, kita sepatutnya menghormati hak kartunis untuk memberi pandangan melalui lukisan mereka," kenyataan itu dipetik.

Menurut laporan, serangan terhadap pejabat majalah itu dipercayai dilakukan ekoran kontroversi mempersendakan pemimpin politik dan agama termasuk ketua militan Negara Islam Abu Bakr al-Baghdadi.

Pada tahun 2011, majalah itu juga menyiarkan kartun yang didakwa mempersendakan Nabi Muhammad SAW.

Zunar atau nama sebenaranya Zulkifli Anwar Ul-Haq turut menggesa pihak berkuasa Islam bekerjasama rapat dengan kartunis bagi menghasilkan karya yang mempamerkan wajah Islam.

Kerjasama rapat

"Sebagai seorang Muslim saya mencabar pihak berkuasa Islam untuk berkerja rapat dengan kartunis untuk menghasilkan karya- kartun yang mempamerkan wajah Islam sebenar - agama yang berlandaskan kemananan, bertimbang rasa dan moderat.

Sementara itu, MP Bukit Bendera Zairil Khir Johari menyifatkan tindakan tidak bertamadun itu itu bukan sahaja bertentangan dengan nilai kemanusiaan sejagat, ia juga bertentangan dengan Islam yang mementingkan keamanan.

 

"Kami bersolidariti dengan rakyat Perancis di waktu sukar ini. Rasa dukacita dan takziah diucapkan kepada mangsa, rakan-rakan dan keluarga yang berdepan jenayah kejam ini.

"Lebih daripada itu, kami bersatu menentang segala bentuk keganasan," kata setiausaha publisiti DAP Kebangsaan itu dalam kenyataannya.

Selari dengan Zairil, MP Alor Setar Gooi Hsiao Leung berkata pembunuhan kejam atas nama agama akan mencetuskan kebencian, ketakutan dan pepecahan di kalangan individu lain yang berbeza kepercayaan.

"Mereka yang melakukan serangan kejam itu mesti diheret ke muka pengadilan," katanya sambil mengajak masyarakat Malaysia dan dunia mengecam tindakan itu.