'Harakah merudum bukan kerana perpecahan'
Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, jualan akhbar lidah rasmi parti Islam itu Harakah merudum tidak ada kena mengena dengan dakwaan perpecahan dalam PAS.
“Isu merudum adalah fenomena biasa pada hari ini,” katanya.
Salahuddin berkata, perkara itu berlaku seiring dengan trend semasa dalam dan luar negara, termasuk penurunan jualan akhbar arus perdana.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini.
Harakah mencapai zaman kegemilangannya pada era reformasi apabila jualannya mencecah angka 380,000 setiap keluaran.
Bagaimanapun, Malaysiakini difahamkan ia merosot kepada 60,000 naskhah setiap keluaran.
'Bukan nak pecat Lutfi'
Sementara itu, Salahuddin juga menolak dakwaan tekanan terhadap Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman untuk berundur mempunyai kaitan dengan dengan dakwaan pergolakan dalaman itu.
Malah, katanya, pertemuan dengan Lutfi sebelum ini bukan bertujuan untuk memecat tokoh media alternatif itu.
“Kita tidak berhentikan Lutfi. Semua orang tahu dia mengalami masalah kesihatan. Itu yang kita bincang sekiranya (masalah) kesihatan beliau berlarutan.
“Kita tidak bincang langsung mengenai soal pemecatan. Berita yang keluar (bahawa Lutfi dipecat) tidak benar sama sekali.
“Saya ingin memberitahu kepada semua kita tidak pernah bincang untuk pecat pekerja, kita bincang mengenai Lutfi dan pengurusan Harakah .
Malaysiakini sebelum ini melaporkan bahawa Lutfi Othman diminta oleh ahli lembaga pengarah Harakah untuk meletakkan jawatan.
Bagaimanapun terdapat media lain melaporkan Lutfi dipecat.

