NGO Human Rights Watch (HRW) mendakwa siasatan segera ke atas peguam Eric Paulsen menunjukkan kerajaan semakin berusaha untuk menakut-nakutkan orang ramai demi mengekalkan kuasa.

“Apa yang jelas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kerajaannya semakin yakin bahawa ugutan dan sikap tidak bertimbang rasa adalah cara paling baik untuk mengekalkan kuasa, dan kesannya hak rakyat Malaysa diancam,” kata timbalan pengarah HRW, Phil Robertson.

Beliau juga mendakwa, siasatan serta merta yang dijalankan ke atas Paulsen juga menunjukkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar meletakkan keutamaan yang salah.

“Sangat memeranjatkan apabila IGP kurang minat atau komitmen untuk menghentikan kes kematian dalam tahanan yang mencurigakan.

"Tetapi (IGP) ada masa untuk mengekang hak kebebasan bersuara dan menguar-uarkan di Twitter memgenai penahanan peguam hak asasi utama seperti Eric Paulsen, beberapa minit selepas kejadian," katanya.

Sementara itu, naib presiden PKR, Shamsul Iskandar Md Akin pula membangkitkan mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang menggesa siasatan dijalankan ke atas peguam itu.

MP Bukit Katil itu berkata, gesaan Muhyiddin “tidak wajar, tidak bertanggungjawab, dan memprejudiskan siasatan polis”

Katanya, timbalan perdana menteri itu sepatutnya mengkaji tulisan Paulsen yang menurutnya mengkritik Jakim dan bukannya menghina umat Islam atau agama Islam itu sendiri.

“Perkara ini tidak sepatutnya timbul jika timbalan perdana menteri ada membaca sendiri tweet tersebut sebelum memberikan komen mengenai isu ini.

“Timbalan perdana menteri seakan telah terikut-ikut cybertrooper pro-Umno yang telah menyebarkan maklumat palsu yang kononnya twit saudara Eric itu menghina umat Islam atau agama Islam itu sendiri,” kata Shamsul Iskandar dalam kenyataannya.

Shamsul merujuk kepada kenyataan Muhyiddin semalam, sejurus sebelum pengumuman Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengenai penahanan Paulsen.

Laporan Bernama semalam menyebut, Muhyiddin berkata perbuatan Paulsen itu perlu diberi perhatian dan tindakan

sewajarnya mesti diambil.

"Islam bukan ektremis, sejak bila pula orang kita (rakyat Malaysia) bertindak luar biasa. Islam adalah agama yang paling sederhana," katanya seperti dikutip dalam laporan tersebut.

Paulsen kini ditahan reman untuk siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 atas kenyataan mendakwa Jakim mempromosi ekstremisme setiap minggu.

Kenyataannya di Twitter itu dipadamkan susulan reaksi banyak pihak.