Lelaki Myanmar didakwa diculik ditemui mati
Seorang lelaki warga Myanmar yang dilapor dilarikan tiga lelaki menyamar polis di perkarangan flat Taman Datuk Syed Abass di Jelutong kelmarin, ditemui mati di Kubang Semang, dekat George Town semalam.
Jurucakap polis berkata mayat Abul Kasim Abdul Shukur, 40, ditemui dalam kawasan semak berhampiran hutan dan pengecaman dilakukan oleh isteri dan anak lelaki berkenaan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).
Beliau berkata lelaki yang bekerja sebagai buruh itu dilapor ditarik masuk ke dalam kereta Proton Saga sebelum kenderaan itu memecut ke arah Sungai Nibong pada jam 5.20 petang semalam. Kejadian itu disedari seorang lelaki tempatan yang berada di situ.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Datuk Mazlan Kesah ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat itu, namun enggan mengulas lanjut.
Jurucakap polis itu berkata mayat itu ditemui susulan penahanan seorang lelaki di Seberang Jaya pada 1 tengah hari semalam.
"Lelaki yang merupakan pemilik kereta yang digunakan dalam kejadian culik itu mendakwa mereka membawa mangsa ke sebuah rumah di Kulim, Kedah dan menyerahkannya kepada tiga lelaki Myanmar yang berada di situ," kata jurucakap polis kepada Bernama.
Jurucakap polis itu berkata susulan penahanan lelaki berusia 34 tahun itu, polis menyerbu sebuah rumah di Kulim dan mendapati tiga lelaki Myanmar mengurung 18 lagi rakan senegara mereka di dalam rumah itu tanpa diberi makan dan minum.
Beliau berkata 18 lelaki berusia 20 hingga 46 tahun itu dipercayai dikurung di rumah berkenaan sejak minggu lepas.
"Polis percaya tiga lelaki terbabit adalah anggota sindiket pemerdagangan manusia dan mereka membawa masuk rakan senegara sebelum menjualnya kepada pihak tertentu," katanya.
Beliau berkata menurut mangsa pemerdagangan yang diselamatkan di Kulim itu, Abul Kasim dibawa ke rumah berkenaan semalam sebelum dia dipukul oleh tiga lelaki terbabit.
Siasatan lanjut termasuk motif sebenar mangsa diculik dan dibunuh masih dijalankan, kata jurucakap polis itu.
Beliau berkata polis juga sedang mengesan dua lelaki tempatan, masing-masing berusia 35 dan 27 tahun dikenali sebagai Mi Merah dan Hafiz bagi membantu siasatan kes itu.
"Dua lelaki itu masing-masing beralamat di Bukit Mertajam dan Simpang Ampat, dekat George Town merupakan rakan kepada lelaki pertama yang ditahan itu," katanya.
Polis turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut atau mengenali dua lelaki yang dicari itu agar menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
- Bernama

