Sembilan lelaki warga Myanmar dihadapkan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini atas tuduhan membunuh rakan senegara pada November lepas.

    

Kesemua mereka iaitu Bilal Mohamed Ghulam, 28;  Mohamad Rafik, 28; Habibullah, 20; Mohd Rafi Shafie, 27; Yassin, 23; Hussain Swaley, 44; Soe Maung Maung, 27;  Ali, 33; dan Hafiz Ahmad,28, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Pisang, Cherok To'Kun, Alma dekat Bukit Mertajam \antara pukul 8.30 malam hingga 9.30 malam 23 November lepas.

    

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa bersama-sama sebagai ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang mempunyai tujuan bersama untuk menyebabkan kematian Myo Aung (he) dan seorang lagi lelaki Myanmar yang tiada butiran pengenalan diri.

    

Semasa mereka melakukan bunuh kedua-dua mangsa, kesemua mereka yang merupakan ahli perhimpunan itu mengetahui, kesalahan yang dilakukan mungkin mempunyai tujuan bersama dalam perhimpunan itu.

    

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Melayu.

    

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

    

Majistret Dianne Ningrat Nor Azahar menetapkan 30 Januari ini untuk sebutan kes bagi mendapatkan jurubahasa Myanmar.

    

Sementara itu di Mahkamah Sesyen berasingan, Mohamad Rafik, Bilal dan Hafiz bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa sebagai ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang mempunyai tujuan bersama untuk menyebabkan kematian Htoo Aung dan semasa melakukan bunuh itu mereka yang merupakan ahli perhimpunan itu mengetahui kesalahan yang dilakukan mungkin mempunyai tujuan bersama dalam  perhimpunan itu.

    

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan kedai No 8, Lorong Impian Ria 3, Taman Impian Ria, Machang Bubok dekat sini pada 15 Oktober tahun lepas pada pukul 12.45 tengah malam.

    

Selain itu Mohamad Rafik, Bilal, Hafiz dan Ali turut didakwa melakukan perbuatan sama terhadap Kyaw Tan Hla dan Tun Yine Maung.

    

Keempat-empat tertuduh itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Ladang Kelapa Sawit Kg Manggis, Machang Bubok dekat Bukit Mertajam pada 14 September 2014, pukul 10

malam.

    

Mereka didakwa mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

    

Tiada pengakuan direkodkan oleh kesemua tertuduh ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim M.Vijayalakshmi.

    

Mahkamah turut menetapkan tarikh sama (30 Januari) untuk sebutan kes bagi mendapatkan jurubahasa Myanmar.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Saw Sim.

    

Di Mahkamah Butterworth, lima tertuduh iaitu Bilal, Mohamad Rafik, Habibullah, Ali dan Mohd Rafi turut didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh Aung Naing Soe juga warga Myanmar di tepi Ladang Kelapa Sawit Bukit Tok Alang, Jalan Jarak Atas, Tasek Gelugor pada 9 November tahun lalu antara jam 9 malam hingga 10 malam.

    

Tiada pengakuan direkodkan oleh kesemua tertuduh yang hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Abdul Wahab.

    

Mahkamah kemudian menetapkan 12 Februari untuk sebutan kes itu.

    

Sementara itu di mahkamah sama juga, seorang tertuduh Saifullah Abdullah didakwa tidak memiliki sebarang pas perjalanan sah untuk masuk ke negara ini.

    

Bagaimanapun tertuduh ketika dibacakan pertuduhan hanya berkata: "Saya ada pasport tapi sudah mati".

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di kawasan perkarangan mahkamah Butterworth pada pukul 3 petang 18 Disember lepas mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963  dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.  

    

Mahkamah menetapkan 20 Januari untuk sebutan bagi mendapatkan jurubahasa Myanmar.

    

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Fairus Rahman.

- Bernama