Paulsen dibebas dengan jaminan polis
Pegarah eksekutif Lawyers for Liberty (LFL), Eric Paulsen dibebaskan dengan jaminan polis petang ini - dua hari selepas beliau ditangkap kerana didakwa menghasut melalui satu tulisan di tweet.
Walaupun sedang disiasat di bawah Akta Hasutan, beliau menegaskan bahawa komennya adalah di dalam sempadan perlembagaan persekutuan.
"Saya percaya cakap dan tweet saya adalah dalam lingkungan undang-undang," kata peguam hak asasi manusia itu kepada pemberita sejurus selepas dibebaskan di Balai Polis Dang Wangi pada kira-kira jam 4.30 petang.
Paulsen ditanya sama ada beliau akan berhenti membuat komen pada masa akan datang.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu menjejaskan kes itu.
Beliau diiringi peguam Radzlan Jalaludin dan Michelle Yesudas serta pengurus program BERSIH, Mandeep Singh.
Paulsen, yang ditangkap pada malam Isnin, disiasat di bawah Akta Hasutan kerana tweetnya yang menuduh Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) mempromosi ekstremisme.
Bagaimanapun, beliau kemudiannya memadam tweet tersebut.
Jakim menyediakan khutbah Jumaat yang diterbitkan di lamanwebnya.

