Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Berat tetapi santai, kritis dan kontroversi. Itulah yang boleh disimpulkan setelah usai menonton filem kedua hasil kolaborasi Rajkumar Hirani dan Aamir Khan.

Setelah sukses dengan 3 Idiots sekitar 5 tahun lalu, buah tangan terbaru mereka ini telah mencapai kutipan sebanyak AS$100 juta, setakat artikel ini ditulis.

Nilai kutipan ini mendahului filem Aamir Khan terdahulu, Dhoom 3 yang pernah diiktiraf sebagai filem Hindi paling laris di dunia.

Nilai kutipan yang tinggi ini berakar daripada nilai kritis dan kontroversi yang tercipta.

Banyak filem kritis seperti In Times yang diterajui Justin Timberlake dengan mesej marhaenisme dan anti-kapitalisme pernah meraih lonjakan luar biasa dengan AS$173 juta.

Bahkan filem berat seperti Inception lakonan Leonardo DiCaprio pernah meraih kutipan sebanyak AS$825 juta hasil daripada garapan mesej berat yang mampu diterjemahkan dengan menarik dan santai.

Kontroversi yang menghambat dengan siri-siri bantahan oleh penganut agama jalur ekstrim, pada hakikatnya menjadi nilai tambah untuk melonjak populariti filem yang ditunjangi

heroin cantik Anushka Sharma ini.

Ketika tulisan ini ditulis, berpuluh-puluh demonstrasi bantahan yang dibuat terhadap PK .

Debat dengan 'manusia pelik'

Jumlah ini tidak termasuk siri-siri perdebatan yang semakin hari semakin rancak berlegar di stesen-stesen televisyen dan laman-laman sosial yang mengkritik cara pengarahan Rajkumar Hirani.

Bahkan lebih menarik peneraju utama filem, Aamir Khan sendiri turut tampil menjawab satu demi satu hujah pihak yang membantah filem kontroversi ini.

Menggunakan tema ‘manusia lucu’ (kemudian diketahui sebagai makhluk asing) yang menimbulkan persoalan-persoalan pelik tentang pencarian Tuhan meringankan mesej berat (agama) yang cuba ditonjolkan.

Tidak hanya persoalan-persoalan pelik, PK pergi lebih jauh apabila mempersoalkan manusia-manusia agama ( godmen ) yang ditanggap sering menimbulkan salah faham terhadap agama dan mengada-adakan perkara yang tidak wujud dalam agama.

Juga tidak terkecuali sikap orang-orang agama yang memanipulasi sentimental manusia kepada Tuhan untuk kepentingan kelompok atau peribadi.

Apa yang menarik dalam PK , penonton dibiarkan ternanti-nanti hingga akhir atas setiap persoalan agama dan Tuhan yang sengaja ditimbulkan untuk dijawab dengan penuh kemas dan ringkas di perdebatan epik antara ‘manusia pelik’ dan ‘godmen'.

Dalam konteks ini, pujian harus diberikan kepada watak antagonis ‘godmen’ yang berani untuk berdebat sungguhpun tahu kumpulannya berada di posisi yang salah.

Sikap ini jauh lebih baik daripada kebanyakan orang-orang agama yang selesa menjadi hero di wilayah sendiri dengan caci maki ke pihak bertentangan dan takut untuk berhujah secara berdepan.

Bagi orang-orang agama, PK mungkin dilihat sebagai usaha untuk meremehkan peranan mereka. Malah mungkin juga mengolok-olokkan mereka.

Medan munasabah

Status terhormat di tengah-tengah masyarakat mungkin tergugat dan dipersoal ketika tema filem ini didiskusikan.

Namun bagi orang-orang agama yang mahu 'ber-PK' (berfikir), PK merupakan medan muhasabah yang tepat, kalaupun tidak sempurna.

Mungkin boleh direnung jauh ke cermin diri, sama ada usaha gigih selama ini benar-benar telus untuk masyarakat sebagaimana dituntut agama atau sekadar meraih penghormatan awam dan mengumpul kekayaan peribadi.

Berat untuk diterima, apatah lagi daripada sebuah filem yang dilihat tidak shariah compliant  (seksi dan mendedahkan).

Malah mungkin akan muncul terma ‘matlamat tidak menghalalkan cara’ terhadap filem ini.

Namun lebih penting tema besarnya yang harus ditelusur iaitu agama bukan sekadar kepercayaan. Lebih jelek apabila agama menjadi alat untuk diperkudakan.

Hakikatnya agama ialah bahasa kejujuran. Bahasa jujur antara manusia dan Pencipta serta manusia sesama manusia.

Bahasa ini tidak akan sempurna jika topeng hipokrasi masih kerap ditukar ganti.

Menanggalkan topeng hipokrasi menuntut keberanian. Keberanian hanya akan wujud jika kita mahu terus 'ber-PK’!


SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN penyelaras Komunikasi Pemuda PAS.

Lihat Komen
ADS