Tikus bersarang di kedai makan
Dua belas premis makanan diarah tutup sementara selepas anggota penguatkuasa Jabatan Kesihatan Daerah Tawau menemui sarang tikus di dalam premis berkenaan dalam operasi kebersihan premis makanan di Tawau, malam tadi.
Ketua operasi, Rahman Sampe berkata pengusaha makanan terbabit diberi tempoh 14 hari untuk membersihkan sarang tikus yang terdapat di dalam premis masing-masing.
"Kami juga akan mengadakan pemeriksaan sekali lagi di premis itu selepas tempoh itu untuk menentukan sama ada mereka boleh meneruskan operasi atau sebaliknya," katanya dalam kenyataan di Tawau, hari ini.
Beliau berkata selain itu pihaknya turut mengeluarkan lima kompaun dan empat amaran kepada pemilik premis makanan semasa operasi tersebut.
Rahman berkata dalam operasi melibatkan 30 pegawai dan anggota, sebanyak 26 premis makanan diperiksa di kawasan sekitar bandar Tawau.
Beliau berkata operasi pemeriksaan tahap kebersihan premis makanan di daerah ini akan terus dilaksanakan bagi memastikan kebersihan premis makanan sentiasa berada di tahap yang memuaskan.
- Bernama

