MP mahu gambar baru pembunuh Altantuya
MP Segambut Lim Lip Eng mahu Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi jaminan bahawa wajah dua pembunuh Altantuya Shaariibuu - Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri - yang didedahkan media semalam, bukan diambil pada 10 tahun lalu.
Malah, kata Lim ( bawah ), pihak keselamatan juga perlu memaklumkan kepada rakyat mengenai wajah mereka yang sebenarnya khususnya Sirul - yang kini dilapor berada di Australia - bagi membantu polis menjejakinya.
"Orang ramai perlu tahu bagaimana rupa mereka sekarang supaya mereka terserempak dengan dua pembunuh ini tahu apa yang telah mereka berdua lakukan kepada seorang wanita yang tidak berdosa dan boleh membantu pihak polis sekiranya Sirul menyelinap pulang ke Malaysia.
"Ini juga membolehkan rakyat Malaysia di Australia untuk membantu menyedarkan orang awam dan pihak berkuasa Australia tentang kewujudan seorang pembunuh di kejiranan mereka," katanya.
Pada Selasa lalu, Sirul dan Azilah didapati bersalah membunuh Altantuya di Puncak Alam, Shah Alam pada 2006 dan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati kedua-dua pesalah itu.
Azilah hadir ketika hukuman dijatuhkan manakala Sirul tidak hadir.
Dalam kenyataannya juga, pemimpin DAP itu juga mahu polis menjelaskan mengapa kedua-dua pesalah itu didakwanya mendapat keistimewaan apabila identiti sebenarnya ditutup daripada orang ramai dan pihak media.
Bahkan, beliau mempersoal tindakan pihak berkuasa yang didakwanya "gigih" menyembunyikan wajah dua pembunuh itu setiap kali mereka muncul di mahkamah sehinggalah dijatuhi hukuman.
Sementara itu, Lim turut menyindir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi akan menulis surat kepada kerajaan Australia untuk memaklum dan mengesahkan bahawa Sirul sebagai pembunuh yang didapati bersalah dan menjadi orang yang dikehendaki negara.
"...Serta memohon supaya pihak berkuasa Australia segera mengekstradisi Sirul pulang ke Malaysia?" kata Lim lagi merujuk kepada tindakan Zahid yang menulis surat kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat berkaitan raja judi Paul Phua.

