Setelah dikecewakan pasukan lawan pada saingan akhir tahun lalu, pasukan Sepak Takraw Terengganu berazam membawa pulang Piala Emas Khir Johari bagi kejohanan edisi ke-51 Januari ini.

Kejohanan itu akan berlangsung di Dewan Dome, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Pulau Pinang pada 21 hingga 25 Jan ini.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) Mohd Shapian Ali berkata beliau optimis dengan sasaran itu kerana pihaknya sekali lagi akan mempertaruhkan pemain-pemain negeri yang pernah beraksi pada edisi lepas.

"Bekas pemain kebangsaan Hami Khairi Roslan akan bertindak sebagai jurulatih pasukan dan sekali gus menjadi pemain dan teraju dalam kejohanan ini. Malah dua pemain pelapis dari Sukan Malaysia (Sukma) negeri akan diturunkan bersama menggalas cabaran ini," katanya kepada Bernama di Kuala Terengganu hari ini.

Juara edisi kali ini bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 sementara RM7,000 untuk naib johan.

Pada edisi kejohanan 2014, Terengganu tidak bernasib baik untuk bergelar juara setelah dikalahkan pasukan Sepak Takraw Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur tampil unggul menundukkan Terengganu selepas menewaskan juara bertahan itu 2-0 pada aksi final di Stadium Perbandaran Pasir Gudang, Johor pada 21 Jun tahun lepas.

Justeru bagi mengelakkan perkara itu terjadi, Mohd Shapian berkata Terengganu telah membuat persediaan rapi dan mengadakan latihan intensif bagi memastikan pemain-pemain berada dalam keadaan baik serta bersemangat tinggi.

- Bernama