Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemain industri bantah monopoli permit kerja
Diterbitkan:  Jan 20, 2015 8:00 PM
Dikemaskini: 12:09 PM

Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menegaskan sekali lagi bantahan berhubung monopoli dalam proses pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pekerja asing secara atas talian kepada MyEG.

Dalam kenyataannya hari ini, MARGMA menganggap bayaran fi tambahan sebanyak RM38 daripada bayaran RM125 yang dibayar di kaunter "terlalu tinggi dan tidak munasabah".

"Jabatan Imigresen sepatutnya mengekalkan servis pembayaran di kaunter perkhidmatan sebagai pesaing kepada MyEG.

“Sementara MyEG sepatutnya mencari jalan mengurangkan kos untuk menarik lebih ramai pekerja asing memperbaharui PLKS menggunakan servis mereka,” kata persatuan itu.

Sebagai alternatif, MARGMA juga menuntut imigresen mengurangkan bayaran fi kerana tidak lagi menyediakan perkhidmatan kaunter.

Persatuan itu menegaskan bahawa pekerja tidak sepatutnya dibebankan dengan bayaran tambahan ekoran tindakan menyumberluarkan servis atas talian itu kepada syarikat swasta.

"MARGMA juga sekali lagi menyokong penuh usaha kerajaan untuk menambah baik efisien dan produktiviti pelbagai jabatan kerajaan dengan memperkenalkan pelbagai servis atas talian.

"Tetapi, kerajaan digesa untuk menguruskan sesi rundingan pada peringkat perancangan dan juga membenarkan pelbagai syarikat untuk memberikan servis yang sama bagi menggalakkan persaingan," kata MARGMA.

Sebelum ini, mereka mengeluarkan kenyataan bersama dengan 25 dewan perniagaan dan persatuan peniaga menolak kaedah itu dan dan bayaran perkhidmatan pada 12 Januari lalu.

Dilaporkan objektif utama sistem baharu dalam talian untuk PLKS melalui MyEG bertujuan membezakan pekerja asing sah dan tidak sah serta pihak yang menggunakan perkhidmatan pekerja asing yang menyalahi undang-undang.

MyEG dalam makluman kepada Bursa Malaysia, berkata sistem yang dimulakan pada 5 Januari itu menyediakan cara lebih mudah dan berkesan bagi membuat urus niaga.

Bayaran RM38 adalah untuk skop tanggungjawab itu, serta bagi tugas penyerahan permit yang diperbaharui dengan pengesahan biometrik kepada rumah atau pejabat pemohon.

Lihat Komen
ADS