Penggiat seni dan artis menyifatkan perbuatan menyebarkan video seorang penyanyi lelaki sedang menyanyikan sebuah lagu popularnya, sebagai tidak adil kepada golongan artis.

Presiden Yayasan Artis 1Malaysia, Datuk Irwan Shah Abdullah atau DJ Dave berkata, hal ini disebabkan seluruh insan seni turut terkena tempiasnya, lapor Bernama .

    

"Jangan buat begitu kerana artis juga manusia biasa. Soal penglibatannya dengan dadah biar undang-undang yang menentukan sama ada dia bersalah atau tidak," katanya.

Beliau mengulas penyebaran video berdurasi satu minit 23 saat itu di laman Facebook antara lain memaparkan penyanyi lelaki sedang menyanyikan lagu dan disifatkan sebagai tindakan membuli serta menjatuhkan maruah penyanyi terbabit.

Penyanyi itu dan teman wanitanya ditahan semalam kerana dipercayai memiliki dadah di sebuah rumah di Taman Keramat, sementara polis menemui bungkusan disyaki mengandungi heroin seberat kira-kira 1.2 gram.

Mereka direman selama empat hari.

Sementara itu, agensi berita itu juga melaporkan, penyanyi Zainal Abidin Mohamad atau Zainal Headwind (bawah) pula berkata, video itu amat memalukan golongan artis kerana sebagai orang yang dikenali, artis itu tidak patut didedahkan dengan cara yang menjatuhkan maruahnya.

    

"Itu satu deraan yang mengaibkannya. Lupakah mereka kepada keluarga penyanyi itu yang turut menanggung malu akibat perbuatan mereka," katanya .

    

Beliau berkata individu yang menyebarkan video itu patut dikenakan tindakan tegas agar menjadi pengajaran kepada orang lain yang turut mempunyai minat yang sama untuk merakam dan memuat naik video bagi tujuan menjatuhkan maruah seseorang individu yang belum dihukum.

Sementara itu, Bernama turut melaporkan, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Khairuldin Saad berkata empat orang saksi termasuk dua anggota polis telah dipanggil memberi keterangan.

    

Beliau berkata dua lagi saksi yang memberi keterangan adalah penyanyi itu dan teman wanitanya.

    

"Keterangan diambil hari ini. Kita akan menjalankan siasatan secara dalaman dan kita percaya ia dilakukan lebih daripada seorang," katanya.