Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zeti: BNM tak ulas mengenai entiti individu
Diterbitkan:  Jan 27, 2015 3:47 PM
Dikemaskini: 7:56 AM

Bank Negara Malaysia tidak akan membenarkan sebarang kesan 'sistemik' daripada syarikat individu menjejaskan ekonomi negara, kata Gabenor Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

"Kami tidak penah mengulas mengenai entiti individu, namun kami mempunyai aturan untuk menanganinya supaya tiada mana-mana entiti individu mendatangkan impliaksi sistemik ke atas sistem kewangan ke atas ekonomi negara.

"Inilah prinsip asas," katanya semasa mengulas mengenai baki hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang besar.

Zeti bercakap kepada pemberita selepas majlis perjanjian antara Kerajaan Malaysia dan World Bank Group untuk pembukaan pejabat World Bank Group di Kuala Lumpur, di Putrajaya hari ini.

Ditanya mengenai pelaburan yang dibawa balik daripada portfolio asing syarikat (SPC) yang berdaftar di Kepulauan Cayman, beliau berkata: "Kami tidak membuat ulasan ke atas individu."

"Dalam kes yang diberikan lanjutan, ia bukan oleh Bank Negara, ia daripada peminjam, iaitu bank komersil, mereka yang buat keputusan itu," katanya.

Mengulas mengenai program pengurangan kuantitatif (QE) Bank Pusat Eropah, beliau berkata jika QE memberikan kestabilan kewangan kepada pasaran kewangan global, termasuk Eropah sendiri, ia pastinya positif untuk Malaysia.

"Jika ia menyokong pemulihan dalam pertumbuhan dan pembangunan di Eropah, ia juga positif.

"Oleh itu sudah pasti kita akan melihat dana masuk dan dana keluar, dan berdasarkan pengalaman QE oleh Rizab Persekutuan, kebanyakan daripada kita sudah menunjukkan bahawa sistem kewangan masing-masing sudah mencapai kematangan dan memanfaatkan pengalaman itu," katanya.

Mengenai pergerakan semasa ringgit, Zeti berkata bank pusat sudah melihat tahap ini sebelum ini dan ia mencerminkan suasana yang berlaku dalam persekitaran global.

"BNM yakin ia tidak mencerminkan kadar asas negara yang kukuh, namun sebaik segala keadaan kembali stabil, ringgit akan bergerak mengikut trend kadar asas negara.

Zeti berkata kadar inflasi negara diunjurkan antara 2.5 peratus dan 3.5 peratus, sistem perbankan yang bermodal tinggi dan pertumbuhan kredit 10 peratus dan disokong oleh pertumbuhan mampan.

Beliau berkata Keluaran Dalam Negara Kasar negara dijangkakan mencatat pertumbuhan seperti yang diunjurkan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS