BERITA Malaysiakini

Jackie Chan dapat gelaran Datuk

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pelakon aksi antarabangsa Jackie Chan menerima darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk.

Mendahului senarai 356 penerima pingat dan darjah kebesaran tahun ini ialah Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, lapor Bernama .

Beliau dianugerahi Seri Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Ketua Biro Sarawak Pertubuhan Berita Nasional Malaysia Abdul Aziz Harun turut dikurniakan pingat Ahli Mahkota Wilayah.

Majlis istiadat pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan hari ini berlangsung di Istana Negara di Kuala Lumpur.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Noorainee Abdul Rahman turut hadir.

Begitu juga dengan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan barisan menteri kabinet lain dalam majlis di Balairung Seri itu.