Penolakan PAS terhadap pilihan raya tempatan bukan pendirian peribadi presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kata pemimpin muda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abd Aziz.

Malah, kata anggota jawatankuasa pusat parti Islam itu, ia sudah lama ditolak oleh PAS.

“Jika ada yang menganggapnya sebagai pendapat peribadi dan bukan pendirian rasmi parti, maka ia adalah salah dan amat malang jika ia tidak difahami oleh pemimpin PAS sendiri,” kata anggota Parlimen Pasir Mas itu.

Anak kepada mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu juga mengulas panjang berhubung kedudukan pilihan raya dan hubungannya dengan demokrasi dan keadilan.

Dalam kenyataannya semalam, beliau mengingatkan bahawa keadilan bukan hanya boleh dicapai melalui pilihan raya semata-mata tetapi pelbagai lagi kaedah termasuk sistem khalifah dan beraja.

“PAS memahami demokrasi dalam kerangka pandangan Islam yang lebih adil,” katanya.

“Ia mensasar mencapai keadilan, bukan merajakan jalan-jalan menuju keadilan yang boleh berubah-berubah dan diikat dengan syarat dan kesesuaian.”

Beliau mengkritik amalan demokrasi Barat yang mempertegas hak veto untuk mematikan hak majoriti dalam membuat keputusan.

“Ia jelas zalim. Justeru jika pilihan raya ditolak dengan tujuan melihat kepada jalan keadilan yang lebih baik daripadanya, maka ia adalah lebih utama untuk diterima.,” katanya.