Tokong mahu terus pecah rekod menjelang raya Cina
Sudah empat kali memecahkan rekod Malaysia dalam pelbagai acara, tokong Thean Hou di Kuala Lumpur kali ini mahu mencipta nama dengan menggantung tanglung menggunakan lampu LED terbanyak sempena Tahun Baru Cina.
Tokong terbesar di ibu negara itu kini sedang giat memasang 4, 500 tanglung untuk sambutan perayaan itu pada 19 Februari ini, sekali gus untuk mendapat tempat dalam Malaysia Book of Record.
Tokong di Jalan Syed Putra itu diasaskan oleh masyarakat Cina Hainan pada 28 tahun lalu.
Ia sebelum ini diiktiraf sebagai tokong pertama mendapat anugerah piawaian ISO 9002 dalam bidang pengurusan.
Ketua setiausaha eksekutif tokong itu Jean Lum Lee Chun berkata mereka menggunakan 25 tenaga kerja mahir dalam bidang itu khusus daripada China.
Oleh kerana jumlahnya banyak, ia mengambil masa dua minggu dan dijadualkan selesai beberapa hari lagi.
Lum menjelaskan, selain tanglung, tokong itu juga akan dihias dengan 10 arca daripada kisah dongeng masyarakat Cina.
Tema moral, perpaduan
Menariknya, ia juga dihias dengan sistem pencahayaan yang boleh menceritakan kisah-kisah itu.
Beliau juga menambah, tema tahun baru Cina di seluruh negara pada tahun ini bertemakan konsep moral dan perpaduan untuk kehidupan harmoni.
“Keharmonian (dalam tema tahun baru Cina) bukan sahaja merujuk kepada keharmonian dalam masyarakat malah dalam fikiran dan hati.
“Kalau kita lihat sekarang ini kalau kita buka surat khabar banyak tragedi yang berlaku dan ia negatif. Dengan tema yang sebegini akan membawa impak yang positif kepada orang ramai,” katanya.
Rumah ibadat itu antara destinasi pelancongan terkenal di ibu tidak pernah lengang dengan pengunjung.
Malah, ketika kerja-kerja menghias sedang dijalankan, sudah ramai yang datang untuk melihatnya.
Lum menjangkakan pengunjung akan meningkat bermula tahun baru Cina hingga perayaan Chap Goh Meh, dua minggu lepas itu.

