'Pemimpin antirasuah Indonesia korup'
Polis Indonesia yakin semua pesuruhjaya badan pencegahan rasuah negara itu KPK terlibat dengan jenayah itu.
Polis juga menafikan siasatan berkenaan berkaitan konflik antara dua pihak berkuasa tersebut seperti tanggapan umum, lapor portal Jakarta Globe hari ini.
"Semua ini sedang diteliti: kami perolehi semua laporan dan mereka yang melaporkannya -- penganiayaan apa?
"(Tanggapan) itu tidak benar," kata pegawai tinggi bahagian siasatan polis, Budi Waseso.
Timbalan ketua KPK Bambang Widjojanto disyaki memaksa saksi memberikan keterangan palsu dalam kes petisyen pilihan raya di Kalimantan Tengah pada 2010.
Bambang waktu itu seorang peguam.
Ketuanya pula Abraham Samad didakwa melanggar undang-undang KPK apabila bertemu beberapa ahli politik secara sulit.
Dua lagi timbalan ketua KPK, Adnan Pandu Praja dan Zulkarnain, disyaki melakukan jenayah sebelum dilantik pesuruhjaya badan tersebut.
Pemimpin-pemimpin KPK disiasat dan didakwa rasuah dengan tidak semena-mena selepas calon ketua polis negara republik itu, Budi Gunawan, disyaki terbabit dalam rasuah.

