'Motif bukan utama, tapi ada nilai pembuktian'
Dalam undang-undang jenayah, mahkamah tidak perlu menentukan atau mendedahkan motif sesuatu kes, kata bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof hari ini.
Ditanya tentang kes pembunuhan Altantuya Shariibuu yang mencetuskan kegemparan berhubung motif pembunuhannya, Ariff dilihat berhati-hati mengulas perkara itu ekoran tertuduh kedua Siral Azhar Umar masih bebas.
Beliau berpendapat terdapat beberapa kes jenayah tertentu yang motifnya perlu diketahui. Bagaimanapun, tambahnya, terdapat pengecualian terhadap orang gila.
"Dalam istilah jenayah undang-undang, motif tak semestinya perlu. Itu undang-undang yang betul. Umumnya terdapat kes-kes di mana motif, sekalipun ia tidak semestinya perlu terhadap kesalahan, ia mempunyai nilai pembuktian bagi setiap jenayah.
"Lazimnya begitu... Ia mesti mempunyai motif sekalipun tidak semestinya menjadi bahan untuk undang-undang. Saya hanya boleh kata setakat itu, selainnya saya akan bercakap seperti NGO dan ahli politik, yang mana suatu perkara yang saya tak mahu buat," katanya.
Sejak pembunuhan Altantuya sembilan tahun lalu, persoalan motif menjadi tanda tanya di kalangan orang ramai yang mengikuti kes yang rumit itu.
Ia begitu berselirat sehingga terdapat pertuduhan mengaitkan penganalisis politik Abdul Razak Baginda, rakan rapat Datuk Seri Najib Razak dengannya.
Ia juga melibatkan Sirul dan Chief Inspektor Azilah Hadri, anggota Unit Tindakan Khas, yang dipertanggungjawabkan mengiringi orang kenamaan (VVIP) termasuk bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi dan Najib.
Tercetus persoalan mengenai motif pembunuhan itu ekoran Abdul Razak menyifatkan penubuhan terhadap bekas teman wanitanya sebagai pembunuhan biasa melibatkan "polis jahat".

