Polis akan memanggil Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri petang ini untuk memberi keterangan berhubung gesaannya supaya orang ramai memboikot perniagaan Cina.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Ismail akan disiasat bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan yang membangkitkan rasa kegusaran di kalangan masyarakat.

"Kita akan berjumpa beliau (Ismail) petang ini, Insya-Allah untuk merakam ucapan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Smart Library di Markas Polis PDRM Cheras pagi ini.

"(Kita) dah setuju, cuma kita sedang aturkan masa kerana hari ini mesyuarat kabinet, jadi bagi peluang pada menteri dan pegawai lain bermesyuarat," katanya lagi.

Selain itu, Khalid berkata lagi, selain daripada Ismail pihak polis turut akan memanggil individu daripada MCA, Gerakan dan DAP untuk diambil kenyataan ekoran maklum balas mereka terhadap kenyataan itu.

"Kita juga akan minta kerjasama semua pihak yang telah membuat kenyataan (balas kepada Ismail) daripada MCA, GERAKAN dan DAP. Kita juga akan panggil untuk beri kenyataan," katanya lagi.

Ekoran isu tersebut itu, Khalid juga menyeru kepada semua pihak supaya berhenti membuat perbincangan terbuka terhadap isu yang melibatkan bangsa.

Ini kerana, beliau bimbang sekiranya terdapat pihak yang akan mengambil kesempatan berikutan isu tersebut.

"Saya seru semua pihak hentikanlah sebarang perbincangan terbuka mengenai perkara ini. Saya harap kita tak memanjangkan perkara ini. Tak bagus.

"Kerana banyak pihak yang akan ambil kesempatan dalam hubungan antara antara kaum ini bagi tujuan memburukkan lagi (keadaan)," katanya.

Coulibaly tak masuk M'sia

Sementara itu, Khalid sekali lagi menafikan pasangan yang terlibat dalam kejadian tebusan di sebuah pasar raya di Paris pernah memasuki Malaysia untuk bercuti.

Khalid berkata, hasil siasatan pihak polis mengesahkan pasangan Amedy Coulibaly dan isterinya Hayat Bourmeddiene tidak pernah berada di negara ini.

Sehubungan itu, Khalid mempersoalkan tindakan pihak yang membangkitkan isu individu yang datang ke negara ini.

"Gambar boleh buat. Dari semakan kita, kita tengok rekod, dia tak pernah masuk ke Malaysia. Jadi kadang-kadang ada orang sengaja (timbulkan).

"Kenapa bila seseorang datang ke Malaysia semua orang nak memperbesarkan (isu)? Malaysia ini menjadi tarikh semua orang jadi kenapa nak jadi isu bila masuk sini? Kenapa kalau dia masuk ke Singapura atau Thailand tak jadi isu? Kenapa?" soalnya.

Semalam The Star melaporkan Coulibaly yang ditembak mati dalam kejadian tebusan di timur Paris pada pernah melancong ke Malaysia bersama Bourmeddiene.

Laporan yang memetik Washington Post itu menyebut, pada Isnin lalu mahkamah menunjukkan gambar Coulibaly, 32, dan isterinya yang berumur 26 tahun yang bergaya di Menara Berkembar Petronas, Masjid Negara dan beberapa masjid lagi dipercayai di Terengganu.