Menteri kabinet, Datuk Seri Ismail Sabri terus mempertahankan kenyataan awalnya yang menggesa agar pengguna memboikot perniagaan kaum Cina yang tidak menurunkan harga.

Beliau tetap tidak meminta maaf dan mengguna peluang dalam program bual bicara melalui siaran RTM1 ini untuk menjelaskan bahawa saranan itu patut dilihat secara umum.

Ia tidak sepatutnya dilihat sebagai kenyataan yang memfokuskan kepada sesuatu kaum sahaja, katanya.

"Saya harap mereka yang tak boleh terima, sensitif dan melihat seolah-olah saya menyerang sesuatu kaum harus melihatnya secara gambaran yang lebih besar.

"Apabila saya sarankan supaya kita boikot peniaga yang degil untuk turunkan harga barang, apa yang patut mereka lihat adalah jika mereka benar-benar boikot peniaga yang degil, kesannya ialah harga akan turun.

"Yang akan dapat faedahnya ialah pengguna tidak kira sama ada pengguna itu Melayu, Cina, India atau sebagainya.

"Itu yang lebih penting mereka tumpukan. Bukan kepada perkara kecil yang sedang dimainkan hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan moderator program bual bicara itu mengenai saranannya di Facebook untuk memboikot peniaga kaum Cina.

Ismail juga membangkitkan mengenai satu rangkaian kedai kopi – yang menurutnya perlu diboikot oleh orang Melayu.

Ismail berkata, masyarakat terutamanya Melayu sepatutnya mengambil tindakan lebih konkrit dan bukan hanya menyatakan rasa marah ke atas kedai kopi berkenaan.

Walau tidak menamakan secara langsung, ia merujuk kepada rangkaian kedai kopi Old Town Kopitiam.

"Saya nak beri contoh satu kopi punya kedai. Saya tak mahu sebut (nama) di sini. Saya bukan kata suruh boikot kedai kopi tersebut. Saya hanya memberikan contoh.

"Contohnya kedai itu beberapa kali timbul masalah sijil halal. Dan orang Melayu kalau sebut mengenai itu (halal) marah.

"Pengguna marah. Tetapi selepas itu hilang macam itu sahaja (perasaan marah) dan pergi juga. Selepas itu saya kata, yang patut kita buat bukan setakat marah tetapi (lakukan) tindakan," katanya lagi.

Katanya, terdapat pengguna Melayu yang masih makan di kedai tersebut walau terdapat banyak restoran Melayu lain.

Dalam kenyataan di Facebook sebelum ini, Ismail mendakwa rangkaian kedai kopi tersebut dimiliki pemimpin DAP.

Bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh pihak Oldtown White Coffee yang menegaskan bahawa restoran itu tidak mempunyai sebarang hubungan dengan mana-mana parti atau ahli politik.