Soi Lek: Pendirian Tiong Lai 'lembik'
Bekas presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek kecewa kerana penggantinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai gagal bertindak tegas terhadap menteri Umno yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.
Bercakap kepada Malaysiakini , Chua berkata Liow sepatutnya lebih tegas dalam menegur Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ditanya jika beliau turut hampa dengan reaksi pejabat perdana menteri berkenaan perkara itu, Chua menjawab: "Saya lebih kecewa dengan presiden saya".
Jelasnya, Liow tidak wajar membiarkan pemimpin muda seperti Ketua Pemuda MCA, Senator Chong Sin Woon menggalas tugas untuk berhadapan dengan seorang menteri kabinet.
"Dia terlalu muda untuk mengendalikan perkara ini," katanya.
"Liow sepatutnya memberikan kenyataan yang keras. Orang mengharapkan beliau menyatakan perkara itu (kenyataan Ismail) sebagai salah.
"Perkara ini tak perlu tunggu dibincangkan di peringkat kabinet. Ia perkara mudah dan bukan intelektual pun," katanya.

