Tong kemuka notis tuntutan pada Jho Low
Pemilik The Edge Media Group Datuk Tong Kooi Ong mendakwa jutawan Malaysia, Low Taek Jho mendalangi serangan ke atasnya dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melalui blog tertentu.
Tong berkata beliau mengemukakan notis tuntutan rasmi ke atas Taek agar menghentikan “penipuan jahat” ke atas beliau dan media miliknya, The Edge dan The Malaysian Insider.
"Saya percaya Low Taek Jho atau Jho Low merupakan individu bertanggungjawab ke atas serangan jahat dan cerita rekaan ke atas The Edge Media Group dan saya melalui beberapa blog,” katanya dalam satu kenyataan.
Kandungan dalam blog berkenaan turut menyerang adik kepada perdana menteri, Datuk Seri Nazir Razak yang merupakan tokoh korporat, kata Tong.
Beliau merujuk kepada blog kamibukanbodohtau.wordpress.com, corruptednazirrazak.wordpress.com, kronismemahathir.wordpress.com, politikukus.wordpress.com and malaysianexpose.wordpress.com.
Tong berkata beliau mendapati perkara itu selepas mengesan seorang penulis blog tanpa nama yang didakwa bertanggungjawab ke atas beberapa blog yang mempromosi Jho Low dan juga 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Blog berkenaan termasuk bisnes2malaysia.wordpress.com, worldofcorporate.wordpress.com dan todayinbusiness.wordpress.com.
Tong berkata penulis blog tersebut menggunakan nama samaran “ahrily90” dan turut menggunakan beberapa nama samaran lain, termasuk ‘pen jingga’, ‘julijulipeh’, ‘saberarturia18’ dan ‘rahmanirwan74’.
"Bila tahu kami memburunya, beberapa laman tersebut ditutup,” kata Tong yang menambah, kandungan tersebut bagaimanapun berjaya dimuat turun sebelum laman itu ditutup.
Tong seterusnya menjelaskan bahawa media yang dikuasainya itu hanya membangkitkan isu 1MDB kerana bimbang dengan kesan buruk yang akan berlaku sekiranya syarikat itu menemui kegagalan.
"Semua putar belit oleh 1MDB tidak boleh menyembunyikan fakta ini.
"Dalam membangkitkan cabaran yang dihadapi negara ini kami tidak mensabotaj negara.
"Sebaliknya, kami percaya ia akan membantu mendorong rakyat mencari penyelesaian demi kebaikan negara,” kata Tong.
Blog tersebut antara lainnya mendakwa beliau terlibat dalam manipulasi dalam pasaran matawang untuk keuntungan peribadi.
Dakwaan tersebut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang memberi jaminan pada 28 Februari lalu untuk bertindak ke atas pihak yang melakukan manipulasi seperti itu.
Susulan itu, Tong pada hujung minggu lalu mengeluarkan kenyataan yang menafikan terlibat dalam perbuatan seperti itu.
Jho Low juga sebelum ini menafikan bahawa beliau menjalankan kempen untuk memburuk-burukkan Tong.

