Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Klang, Mohamed Azmin Ali, hari ini membantah tindakan Jabatan Peguam Negara mensapina anaknya yang berusia 4 tahun sebagai saksi dalam perbicaraan terhadap pengarang 50 Dalil , Abdul Khalid @ Khalid Jafri bin Bakar Shah.

"Saya tidak mahu anak kami menjadi mangsa dalam sistem perundangan yang tidak adil ini," kata Azmin kepada malaysiakini petang tadi.

"Saya telah meminta peguam mengenepikan dan membatalkan sapina terhadap anak saya."

Perbicaraan itu bermula 29 Mei hingga 2 Jun depan di Mahkamah Sesyen Ampang.

Azmin menyifatkan tindakan sapina yang dikeluarkan 25 Mei itu "pelik dan tidak munasabah" dan "satu komplot untuk terus-menerus mengaibkan keluarga kami."

Dalam buku itu, Khalid mendakwa anak Azmin itu hasil perhubungan sulit isteri pemimpin Parti KeADILan Nasional itu, Shamsidar Taharin, dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Khalid dituduh mencetak maklumat palsu di bawah Seksyen 8 A (1) Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984.

Azmin berkata beliau amat terperanjat dengan sapina tersebut kerana "sebarang kenyataan tentang kedudukan anak kami haruslah datang daripada saya dan isteri saya."

Tambahnya, sebelum ini tidak ada sebarang kenyataan polis diambil daripada anak perempuan beliau, Farah Afifah.

"Sekiranya sapina tersebut berkaitan dengan kedudukan saya sebagai bapa yang sah dari segi undang-undang dan juga dari segi biologi, isu tersebut telah pun selesai dan terbukti melalui dua ujian DNA," tegasnya.

Satu ujian DNA dijalankan oleh polis sebelum mendakwa Khalid dan satu lagi ujian dijalankan di luar negara secara persendirian sebagai persiapan menghadapi sebarang kes di mahkamah.

Azmin juga mengingatkan Jabatan Peguam Negara supaya bersungguh-sungguh mendakwa pengarang itu yang disifatkan menfitnah beliau, keluarganya dan Anwar.

"Khalid adalah salah satu pelakon dalam konspirasi politik yang menjatuhkan Anwar," kata bekas setiausaha sulit Anwar itu.