Mahathir: Kaji dahulu apa Ismail kata
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meminta orang ramai mengkaji terlebih dahulu kenyataan yang dibuat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Ismail.
Ini kerana, kata Mahathir, sekiranya kenyataan itu hanya berpandukan kepada berita akhbar, ia tidak mencukupi.
"Saya fikir sebelum tuduh menuduh, kaji dulu apa yang dia (Ismail) kata.
“Kalau kita tengok dalam surat khabar sahaja tak cukup," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ulang tahun dua hala hubungan antara Cuba dan Malaysia di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dilihat membela menteri kabinetnya berhubung kenyataan Ismail yang menggesa orang ramai memboikot peniaga Cina yang enggan menurunkan harga barang.
Sebelum ini Ismail menulis kenyataan di laman Facebook menggesa orang ramai memboikot peniaga Cina yang enggan menurunkan harga barang.
Minggu lalu Najib melalui Pejabat Perdana Menteri mempertahankan kenyataan Ismail dengan menyebut, kenyataan Ismail itu tidak hanya ditujukan kepada peniaga Cina sahaja.
Dalam kenyataan medianya, Najib berkata Ismail juga mencadangkan supaya pengguna menggunakan kuasa beli bagi memaksa peniaga menurunkan harga barang.
“Teguran yang dibuat oleh beliau ditujukan kepada semua peniaga dan bukan kepada peniaga daripada kaum tertentu.
“Selain itu beliau juga mencadangkan agar pengguna menggunakan kuasa beli mereka untuk memaksa peniaga menurunkan harga barang,” kenyataan Najib dipetik sebagai berkata.

