Polis baru sahaja selesai merakamkan kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kenyataannya berkaitan peniaga Cina.

Kenyataan beliau selesai dirakamkan di ibu pejabat polis di Bukit Aman kira-kira jam 3 sebentar tadi, menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ismail disiasat bawah Seksyen 505B Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

Khalid sebelum ini berkata polis akan meneruskan siasatan walaupun Pejabat Perdana Menteri (PMO) sudah mengeluarkan kenyataan yang dilihat mempertahankannya.

Beberapa laporan polis telah dibuat berhubung perkara itu.

Katanya, kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Ismail sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas meminta orang Melayu memulaukan peniaga Cina yang enggan menurunkan harga barang selari dengan harga baru petrol dan diesel.

Banyak pihak mahukan beliau meminta maaf, termasuk MCA, parti rakan dalam BN.

Ismail ketika dihubungi Malaysiakini enggan mendedahkan soalan berkaitan yang diajukan padanya ketika soal siasatan dan meminta perkara itu dirujuk kepada polis.