Bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad mengkritik beberapa tindakan Amerika Syarikat (AS) yang menurutnya cuba menindas Cuba, antaranya dalam isu hak asasi manusia.

Katanya, AS yang sering dilihat memperjuangkan perkara itu sebenarnya tidak seperti dikatakan apabila masih mengamalkan tahanan tanpa bicara di Guantanamo.

"Memang terdapat masalah tentang rekod hak asasi manusia di Cuba. Tetapi lihat rekod mereka (AS) tidaklah bagus sangat.

“Untuk mengatakan rekod hak asasi manusia negara orang lain tidak bagus bukan sesuatu yang wajar apabila rekod anda sendiri buruk,” katanya dalam majlis ulang tahun ke-40 hubungan dua hala Cuba-Malaysia di Bangi.

Sementara itu, sambil ketawa, Mahathir berseloroh bahawa semasa pemerintahannya, terdapat tangkapan tanpa bicara, namun apa yang dibuat AS jauh lebih teruk.

"Rekod di Malaysia juga buruk semasa saya menjadi perdana menteri. Saya tangkap ratusan orang. Sudah tentulah rekod saya buruk.

“Saya akui rekod saya buruk tetapi sudah tentu rekod mereka (Amerika Syarikat) lagi buruk.

"Saya menahan orang untuk beberapa tahun, bukan musuh politik saya, tetapi mereka menahan orang di Guatanamo lebih daripada 12 tahun tanpa bicara dan diseksa dan ini sangat melanggar hak asasi manusia," katanya sinis.

Dalam syarannya, Mahathir berkata walaupun Cuba sebuah negara komunis dan mempunyai pendekatan berbeza mentadbir negara, ia bukan penghalang kerjasama dengan Malaysia.

"Saya rasa masyarakat sepatutnya tidak menyebuk hal orang lain dan untuk Malaysia, kita menjaga hal kita sendiri kerana Cuba tidak pernah cuba untuk melemahkan Malaysia walaupun membawa ideologi komunis," katanya.