Saiful Bukhari syukur Anwar dipenjara
Pengadu kes Liwat II, Mohd Saiful Bukhari Azlan berkata beliau bersyukur kerana penantiannya berakhir dengan keputusan yang menyabitkan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kesalahan itu.
“Berkat doa, istiqamah dan sabar selama tujuh tahun Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan bahawa dakwaan saya selama ini benar.
“(Mahkamah juga dapati) saya seorang saksi yang berwibawa,” katanya menerusi blog mohdsaifulbukhari.blogspot.com.
Tambahnya lagi, beliau dan keluarga menghormati keputusan Mahkamah hari ini serta apa yang dimahukan sebagai pengadu hanyalah keadilan dan tidak lebih dari itu.
“Juga sebagai hamba Allah yang tidak sempurna ini, saya menjalankan tanggungjawab, menegakkan kebenaran agar saya tidak disoal di akhirat nanti.
“Yang pasti, apa yang penting kini, saya dan keluarga ke hadapan.
“Saya berdoa semoga Allah terus memberi perlindungan, rezeki dan kemudahan dalam segala urusan saya,” katanya.
Kenyataannya itu muncul selepas keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan keputusan hukuman lima tahun penjara ke atas Anwar atas kesalahan meliwat beliau pada 2008.

