Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin menafikan Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria memukulnya dalam mesyuarat jawatankuasa pusat parti itu Ahad lalu.

“Haji Razman adalah kawan baik saya jadi mana mungkin dia akan tergamak untuk memukul saya.

“Maka saya menganggap dakwaan beliau memukul saya adalah hanya spekulasi semata mata,” katanya.

Sebelum ini terdapat dakwaan disebar meluas di Internet bahawa beliau dipukul di belakang oleh Razman kerana mengkritik Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

The Malaysian Insider melaporkan bahawa insiden itu berlaku selepas beliau membangkitkan berhubung tindakan terhadap sekumpulan anggota PAS yang berdemonstrasi dan mendakwa beberapa pemimpin kanan parti itu berusaha menjatuhkan Hadi.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau berkata “spekulasi tidak boleh menggantikan kebenaran”.

Hanipa bagaimanapun berkata tidak dapat mendedahkan apa yang berlaku dalam mesyuarat itu kerana ia urusan dalaman.

Berdasarkan pengalaman beliau, katanya, presiden PAS masih boleh menerima kritikan sepedas mana sekalipun dan sikap itu masih tidak berubah.

"Jika presiden PAS boleh menerima kritikan, maka tidak masuk akal beliau merestui dan membiarkan amalan memukul AJK (anggota jawatankuasa) Pusat jika kita mengandaikan sekalipun spekulasi yang saya nyatakan di atas betul," katanya.