KJ: Perlu perbanyak aktiviti antara SRK, SRJK
Diterbitkan: Feb 11, 2015 9:12 AM | Dikemas kini: Feb 11, 2015 11:34 AM
Lebih banyak aktiviti dan program perlu diadakan di antara pelajar sekolah rendah kebangsaan (SRK) dan sekolah rendah jenis kebangsaan (SRJK) bagi menggalakkan pergaulan dan interaksi kaum di Malaysia, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Beliau berkata langkah demikian perlu bagi mencapai lebih banyak titik pertemuan bersama sekali gus meningkatkan penyatuan kaum di negara ini.
Mengakui polarisasi kaum merupakan antara masalah terbesar dihadapi negara hari ini, beliau berkata usaha kerajaan melalui Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang antara lain bertujuan menyatukan rakyat Malaysia dilihat tidak dapat mencapai objektif berkenaan.
"Bagi saya sudah terlewat sebab kita bawa orang muda berusia 18 tahun menjalani latihan tiga bulan, mana mungkin cukup tiga bulan kerana mereka sudah ada set perangai mereka sendiri susah untuk diubah perwatakan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada seorang hadirin yang menyertai Program Khas #Teatime With KJ yang dianjurkan Koperasi Profesional Putrajaya Bhd di sini hari ini.
"Semasa membuat membuat lawatan di kem PLKN, mereka menjalani latihan bersama dan bercampur dengan baik... namun saya kemudian menunggu ketika 'neutral environment' iaitu pada waktu makan dan saya tengok Melayu duduk makan dengan Melayu, India dengan India, maknanya percampuran itu masih di tahap 'artificial'," katanya.
Jelasnya jika interaksi antara kaum tidak berlaku bermula di peringkat sekolah rendah maka sudah terlewat untuk negara membuat sesuatu terhadap isu polarisasi bangsa.
"Sebab itu Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) mahu kita kaji semula PLKN, sebab tujuannya tidak dapat dicapai 100 peratus, jadi bagi saya kita perlu menggalakkan titik pertemuan dalam kalangan pelajar sekolah rendah supaya mereka boleh berinteraksi," katanya.
Dalam pada itu, beliau juga melihat kepentingan sistem pendidikan dimantapkan untuk menarik minat kaum lain terutamanya Cina untuk bersekolah di sekolah kebangsaan.
"Sekarang ini 95 peratus pelajar Cina pergi ke sekolah jenis kebangsaan, separuh daripada mereka memilih kerana bahasa dan budaya dan sebahagian lagi kerana kualiti pada sekolah jenis kebangsaan.
"Sebab itu, penting untuk kita menyakinkan ibu bapa untuk hantar anak mereka ke sekolah kebangsaan, kalau tidak, kita tidak boleh berkongsi bersama identiti kebangsaan.
"Kita perlu mencari titik pertemuan supaya tidak ada kesangsian, kalau tidak kita kenali antara satu sama lain, maka berlakulah polarisasi kaum, berlakulah kata-kata kesat yang keluar...yang tiada semangat kebangsaan," katanya.
- Bernama

