Nyalaan lilin solidariti buat Anwar malam ini
PKR akan mengadakan himpunan nyalaan lilin di luar penjara Sungai Buloh sebagai tanda solidariti kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersalah kerana meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Presiden Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata perhimpunan itu bermula malam ini sambil menggalakkan penyertaan orang ramai ke perhimpunan tersebut.
"Pemenjaraan saudara Anwar Ibrahim tidak akan melemahkan semangat dan daya juang kami.
"Malah PKR akan memperkukuh kepimpinan dan jentera parti untuk meneruskan perjuangan melaksanakan agenda rakyat demi Malaysia yang lebih baik," katanya.
Selain itu, dalam kenyataannya semalam, Wan Azizah yang juga ADUN Kajang berkata, partinya turut mengatur majlis solat hajat pada Khamis malam Jumaat ini di setiap Cabang PKR seluruh negara.
"PKR istiqamah dan komited untuk tidak mensia-siakan pengorbanan saudara Anwar. Seperti saudara Anwar, PKR juga tidak akan sekali-kali mengalah,” katanya.
Wan Azizah turut mengumumkan dua lagi langkah dalam masa terdekat PKR bagi tujuan tersebut antara lain memfailkan usul di Dewan Rakyat untuk mengkritik perilaku hakim Mahkamah Persekutuan dalam kes itu.
Menganggapnya sebagai "fitnah" dan "konspirasi politik", Wan Azizah berkata keputusan Mahkamah Persekutuan mengekal keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman bersalah dan penjara lima tahun, memusnahkan keyakinan rakyat terhadap kebebasan institusi kehakiman.
"Kes Fitnah 2 ini jelas adalah satu konspirasi politik yang bertujuan untuk melemahkan kebangkitan rakyat yang semakin hari semakin mengancam kedudukan Umno-BN," katanya.
Beliau berkata dapatan mahkamah bahawa Saiful yang juga pengadu sebagai "saksi berwibawa " bertentangan dan tidak konsisten dengan kesemua bukti yang dibentang dan dihujah pihak pembelaan.

