Ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat yakin sebarang perselisihan yang timbul akan segera diatasi demi kelangsungan perjuangan rakyat.
 
"Inilah masanya bagi pemimpin Pakatan Rakyat di semua peringkat merapatkan saf untuk berdepan dengan cabaran semasa negara," katanya.
 
Sehubungan itu, majlis tersebut mengutuk keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan ketua pembangkang itu dan mengekalkan hukuman hukuman lima tahun penjara.
 
"Buat kesekian kalinya sistem perundangan di Malaysia hilang kredibilitinya. Kes ini akan menambahkan lagi senarai bukti kukuh segala jenis penganiayaan dan tekanan kepada pembangkang di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Majlis itu menegaskan bahawa Pakatan tetap kukuh dan akan meneruskan perjuangan rakyat melawan kepincangan sistem dalam negara ini. 
 
"Pakatan Rakyat yang merupakan gabungan parti pembangkang paling kuat dalam sejarah Malaysia ini akan terus dipertahankan," tegasnya.
 
Majlis setiausaha itu yang bermesyuarat semalam, telah membincangkan beberapa program penerangan kepada rakyat berhubung perkara itu.
 
Menurutnya, ia akan membentangkannya dalam Majlis Pimpinan pada petang Jumaat 13 Februari 2015. 
 
Mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.