Walaupun berumur ratusan tahun, seni wayang kulit tempatan tidak akan lekang dek zaman.

Malah, ia semakin popular daripada hari ke hari dan menarik minat penonton luar negara.

PUSAKA, yang gigih mempromosikan seni tradisional tempatan, merancang menjayakan usaha itu pada pertengahan bulan ini dalam jelajah kumpulan wayang kulit di beberapa negeri di Amerika Syarikat (AS).

Dalam kenyataannya hari ini, NGO itu berkata, jelajah itu akan mengambil masa sebulan dan akan diketuai oleh dua anak murid legenda dalang wayang kulit Kelantan Dalang Dollah Baju Merah.

Dua anak muridnya itu Abdul Rahman Dollah dan Mohamad Hassan Noor (Dalang Nawi) akan memikul tugas besar mengharumkan nama negara dalam persembahan di beberapa negeri di AS itu.

“Selain persembahan kepada umum, kumpulan wayang kulit dan PUSAKA akan menjalankan bengkel dan menyampaikan ucapan kepada pelajar universiti semasa menyertai program di sana,” menurut kenyataan itu.

PUSAKA memenuhi undangan daripada negara itu untuk menjadi sebahagian daripada program kebudayaan setempat Caravanserai – yang menyajikan wadah kepada rakyat Amerika mengenali budaya daripada negara-negara umat Islam.

Maklumat lanjut berhubung perkara itu akan dinyatakan dalam sidang media PUSAKA di Kuala Lumpur esok.