DAP menyatakan sokongan padu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijatuhkan hukuman penjara, dan bagi parti itu, beliau tetap merupakan ketua Pakatan Rakyat.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan bahawa Anwar masih merupakan ketua pembangkang dan ahli Parlimen Permatang Pauh sehingga beliau diminta secara rasmi mengosongkan kerusinya.

Perkara 48 Perlembagaan Malaysia menyatakan seseorang ahli Parlimen hilang kelayakan jika dihukum penjara tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan dia tidak mendapat pengampunan bebas.

Anwar gagal dalam rayuannya untuk membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mensabitkannya atas tuduhan liwat dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya.

"Dalam masa 14 hari, Anwar akan kehilangan kerusinya melainkan jika beliau memohon keampunan dari Yang di-Pertuan Agong," kata Lim dalam satu sidang media di Komtar hari ini.

"Oleh itu, kita perlu menunggu sehingga Yang di-Pertuan Agong menerima atau menolak petisyennya.

"Ia bergantung sama ada Anwar mahu memohon pengampunan dari Yang di-Pertuan Agong," kata Lim, yang juga ketua menteri Pulau Pinang.

Lim juga menolak spekulasi bahawa DAP berminat dengan jawatan ketua pembangkang.

Beliau dimaklumkan bahawa PAS dijangka berbincang mengenai jawatan ketua pembangkang hari ini, tetapi berkata "saya hanya boleh bercakap bagi pihak DAP".

Ditanya sama ada DAP bersedia untuk pilihan raya kecil Permatang Pauh, Lim berkata beliau akan menjawabnya selepas kerusi itu kosong secara rasmi.

[Baca berita penuh/asal]