Pepatah lama Inggeris menyebut “cinta itu candu” -- kerana ia mempunyai ciri-ciri dadah dengan mewujudkan rasa ketagih dan merosakkan diri sendiri.

Tetapi adakah benar perasaan itu tidak dapat diubati secara biologi menggunakan ubat-ubatan?

Jawapannya tidak semestinya.

Laporan majalah mingguan sains terkenal New Scientist menyebut bahawa sains perubatan termoden kini hampir sampai kepada sasaran itu menggunakan bioteknologi “anticinta”.

Pakar etika saraf ( neuroethic ) Brian D Earp berkata ubat untuk mengehadkan pengaruh cinta itu menggunakan konsep sama bagi merawat ketagihan dan kemurungan.

“Kajian terbaru pada otak manusia menunjukkan ada keselarian antara kesan sesetengah ubat dengan pengalaman jatuh cinta,” katanya, seperti dilaporkan The Independent.

Diguna pelajar Yahudi

Earp berkata perasan cinta dan ubat-ubatan jenis itu mengaktifkan sistem ganjaran dalam otak yang membolehkan kita melupakan sesuatu tetapi mengundang gian tanpanya.

Menurutnya lagi, terdapat ubat anticinta digunakan secara tidak rasmi oleh kumpulan Yahudi ultra-Orthodoks.

Kata pakar itu, pelajar agama Yahudi diberikan ubat antikemurungan bagi mengurangkan nafsu.

Kesan sampingannya masih tidak diketahui.

Earp beranggapan, dalam keadaan tertentu, ubat lebih canggih mungkin memberi banyak faedah.

Ini, antaranya dalam kes apabila kesan angau percintaan menjejaskan kemampuan dan keupayaan bertindak secara rasional.

Tetapi persoalannya, jika ia boleh dicipta, adakah kita benar-benar memerlukannya?