Satu rangka manusia yang dipercayai mayat seorang lelaki ditemui dalam sebuah tong di tepi kolam di Kampung Timah, Bukit Beruntung.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt R. Supramaniam berkata pihak polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pukul 12.15 tengah hari semalam berhubung penemuan rangka berkenaan di tepi kolam berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Beruntung itu.

"Pemberi maklumat yang berada di tempat kejadian telah menunjukkan lokasi kejadian kepada pihak polis dan menemukan rangka tulang dipercayai tulang manusia yang telah disimen dalam satu tong biru.

"Jarak jalan masuk ke tempat kejadian ke jalan besar lebih kurang 4.4km," katanya dalam satu kenyataan.

Susulan itu, Pasukan Bomba Kuala Kubu Bharu bergegas ke lokasi kejadian dengan tujuh orang anggota dan sebuah jentera, katanya.

"Pihak bomba memberi bantuan dengan memotong tong ... kira-kira 4.35 petang, tong plastik berjaya dipotong dua, setelah simen itu dipecahkan terdapat tengkorak kepala di bahagian bawah tong dengan simen keras sementara badan melunjur ke atas," katanya.

Supramaniam berkata mayat dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.

Polis meminta sesiapa mempunyai sebarang maklumat berhubung perkara berkenaan supaya menghubungi ASP Raduan Mohamad di talian 019-2810193 atau ASP Manimaran di talian 013-6879955.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata pihaknya menerima panggilan berhubung perkara itu  kira-kira 3.15 petang semalam dan bergegas ke lokasi kejadian bersama-sama tujuh anggota.

- Bernama