Seorang bayi lelaki berusia sebulan maut selepas kereta yang dipandu bapanya merempuh sebuah lori yang membawa muatan kayu balak di Kampung Carok Bemban, Kupang, semalam.

 

Dalam kejadian pada 2 petang itu, bayi berkenaan Zul Izul Islam berada di pangkuan ibunya Nurul Najihah Mohd Bakri, 19, ketika bapanya Zulfadzli Zulkifli, 23, memandu Proton Wira Aeroback dan sedang dalam perjalanan pulang dari Kuala Ketil ke Gerik, Perak.

    

Lori yang sarat dengan muatan kayu balak itu pula dari Baling menuju ke Sungai Petani.

    

Kemalangan itu mengakibatkan lori tersebut merempuh sebuah rumah kosong berhampiran tempat kejadian lalu terbalik, menyebabkan muatan balak yang dibawa

jatuh ke kawasan rumah kosong tersebut.

    

Pemandu lori balak berkenaan, Khamis Saad, 58, dari Kampung Serkam, Sungai Petani turut mengalami cedera parah dan dirawat di Hospital Baling.

    

Dalam pada itu Zulfadzli yang mengalami kecederaan parah masih menerima rawatan kecemasan di Hospital Baling manakala Nurul Najihah dirawat sebagai

pesakit luar.

    

Ketua Polis Daerah Baling Supt Md Daud Md Hasan ketika dihubungi mengesahkan kemalangan itu.

    

Mayat bayi berkenaan dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Baling untuk bedah siasat.

Sementara itu, seorang lelaki warga Nepal maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas ke dalam tali air berhampiran Klinik Desa Kemumin di Kota Bharu semalam, demikan menurut polis.

    

Dalam kejadian kira-kira 10.15 pagi itu, lelaki itu dikenal pasti sebagai Govind Tharu, 28, maut di tempat kejadian.

    

Ketua Polis Daerah Kota Baharu, ACP Rohaimi Md Isa berkata mayat lelaki itu ditemukan oleh seorang anggota polis trafik yang melalui kawasan berkenaan.

    

"Siasatan awal mendapati mangsa terbabas seorang diri," katanya ketika dihubungi.

    

Rohaimi berkata identiti lelaki itu disahkan oleh majikannya.

- Bernama