Bos BTV minta menteri bantu selesai krisis gaji
Agensi berita nasional Bernama kini memohon bantuan daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek untuk menyelesaikan krisis gaji kakitangan Bernama TV (BTV).
Kakitangan di bawah entiti swasta Bernama TV Synergy Sdn Bhd itu kali terakhir menerima bayaran gaji pada 24 Disember lalu.
Pengurus besar Bernama, Datuk Zulkefli Salleh memberitahu Malaysiakini bahawa satu penyelesaian akan dapat dicapai dalam tempoh beberapa hari dan rundingan dengan Shaberi juga positif.
"Saya bertemu beliau dan menjelaskan keadaan, kami sedang mengusahakan sesuatu agar Bernama boleh membantu pekerja (Bernama TV Synergy)," katanya ketika dihubungi.
"Ini bukan penyelesaian muktamad, tapi akan menangani keperluan mendesak,” katanya.
Bernama memilikki 33 peratus pegangan dalam Bernama TV Synergy melalui anak syarikatnya Bernama Bhd dan turut menyelia operasinya.
Agensi itu menawarkan diri untuk membayar gaji pekerja terbabit memandangkan Bernama TV Synergy kini mengalami kerugian.
Namun, Bernama sendiri sudah kehabisan dana untuk menyokong stesen TV tersebut pada tahun lalu.
"Dari segi gaji, sepatutnya syarikat (Bernama TV Synergy) yang membayar, tetapi dalam empat tahun lalu, Bernama yang berbuat demikian... Kami (hanya) membantu pekerja,” katanya.
Sebanyak 67 peratus lagi dipegang oleh syarikat swasta, Redberry Sdn Bhd, Hallmax Entertainment Sdn Bhd, dan Standard Code Sdn Bhd
Redberry, yang turut memiliki The Malay Mail memilki saham dalam BTV selepas mengambil alih pegangan Silver Ridge Sdn Bhd.
Redberry mengetuai operasi BTV pada 2010 namun tidak berjaya untuk menjenamakan semula stesen tersebut.

